Sekolah tidak sepatutnya sembunyikan kekurangan infrastruktur pendidikan

0

SIMUNJAN: Pihak sekolah tidak sepatutnya menyembunyikan kekurangan dari segi infrastruktur pendidikan untuk memastikan bantuan serta peruntukan dapat disalurkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, penyaluran maklumat mengenai kekurangan kemudahan pendidikan kepada kerajaan penting dalam usaha meningkatkan kualiti setiap sekolah.

Sehubungan itu katanya, guru dan ibu bapa perlu berpandangan jauh untuk memperbaiki mutu serta prestasi sesebuah sekolah.

“Jangan takut memohon (peruntukan) untuk kebaikan kerana kami (kerajaan) sentiasa membantu.

“Tetapi jika pihak guru dan ibu bapa tidak memohon, bagaimana kerajaan tahu keperluan sekolah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Awal Persekolahan 1Malaysia di SK Sebuyau Ensengei semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo.

Seramai 59 murid darjah satu hingga enam sekolah terbabit menerima Bantuan Kewangan Awal Persekolahan 1Malaysia.

Menurut Nancy lagi, penganjuran aktiviti di sekolah dilihat sebagai platform terbaik untuk membolehkan wakil rakyat melihat sendiri sebarang kekurangan.

Tambahnya, perbincangan lanjut akan diadakan dengan ADUN Sadong Jaya dan wakil sekolah SK Sebuyau Ensengei untuk memperbaiki serta menambah baik infrastruktur sekolah terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu bertindak sebagai rakan kongsi yang dapat membantu menyelesaikan masalah di sekolah.

“Ada juga kes di mana apabila wakil rakyat sudah memberi peruntukan namun PIBG menahan peruntukan.

“Ia menyebabkan ada pihak mempersoalkan mengenai peruntukan yang diberikan,” ujarnya.