Keluarga mangsa rogol akan dibantu

0

Datuk Jainab Ahmad Ayid

KOTA KINABALU: Usaha membantu mangsa kes rogol yang membabitkan pengurus restoran Riduan Masmud diteruskan dengan memberi sesi kaunseling dan bantuan yang diperlukan.

Melihat keadaan keluarga mangsa yang miskin, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, kementerian akan memberi bantuan yang diperlukan oleh keluarga itu.

“Saya akan mengarahkan sesi kaunseling diberi kepada mangsa dan ahli keluarganya. Jika dia (mangsa) ingin meneruskan pelajaran, kami akan menyokongnya. Keluarga mangsa mungkin boleh dibantu melalui Program 1Azam dalam usaha membantu meningkatkan tahap hidup mereka,” katanya.

Dalam pada itu, kementerian akan turut membantu memberi kaunseling terhadap keluarga Riduan kerana sudah pasti mereka juga akan menerima tohmahan negatif masyarakat.

“Kami akan membantu keluarga Riduan kerana mereka juga mangsa keadaan. Kami akan berikan mereka kaunseling kerana kita tidak mahu mereka terbeban dengan pandangan negatif masyarakat terhadap keluarga itu. Kami tidak mahu anak-anaknya trauma dengan keadaan yang berlaku,” jelasnya.

Selain itu, kementerian juga akan membantu keluarga berkenaan dari segi ekonomi kerana difahamkan hanya Riduan seorang sahaja yang menanggung keluarga itu.

Mengenai hukuman yang dijatuhkan ke atas Riduan, Jainab mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam kes berkenaan.

“Kes ini berjaya diselesaikan oleh mahkamah. Walau kes itu agak rumit, tetapi undang-undang jelas membuktikan keupayaannya apabila berhadapan dengan kes rogol membabitkan remaja bawah umur,” katanya.

Dalam pada itu, Jainab turut memberi peringatan kepada ibu bapa agar sentiasa memantau anak-anak mereka terutama dari segi penggunaan media sosial.

Kanak-kanak mudah dimanipulasikan dan dipergunakan oleh orang melalui internet kerana mereka sangat naif, katanya.

Riduan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas kesalahan merogol remaja bawah umur yang kemudian dikahwininya.

Beliau didapati bersalah merogol remaja wanita berumur 12 tahun itu di dalam sebuah kereta di tepi jalan berhampiran Air Terjun Kionsom, Inanam kira-kira jam 10 pagi pada 17 Februari tahun lalu.