Wednesday, November 30

Lima pemburu haram diberkas

0

TIGA laras bakakuk yang dirampas.

Tiga laras senjata api buatan sendiri turut dirampas, kenderaan pacuan empat roda ditahan

TAWAU: Lima suspek pemburu haram diberkas bersama tiga laras senjata api buatan sendiri (bakakuk) mereka di Hutan Simpan Gunung Rara, Daerah Perhutanan Kalabakan, Isnin lepas.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah, pihak berkuasa bertugas berhasil memberkas suspek dan merampas senjata terbabit kira-kira jam 8.20 pagi.

“Kelima-lima suspek yang diberkas adalah lelaki warga tempatan yang berumur 32 hingga 53 tahun,” katanya di sini kelmarin.

Awang berkata, kejayaan itu direkodkan hasil pelaksanaan Ops Buru bertujuan membanteras kegiatan pemburuan haram di kawasan hutan simpan terbabit.

Beliau berkata, kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki suspek turut ditahan dalam operasi itu yang dianggotai renjer hutan, pegawai perhutanan daerah dan kakitangan perhutanan.

“Siasatan polis pula dibuka mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960,” katanya sambil mengingatkan orang awam supaya mengelak daripada memiliki senjata buatan sendiri.