Percepat proses lantik semula, baharu Ketua Kaum Bidayuh

0

KUCHING: Pihak berkuasa berkaitan disaran supaya mempercepatkan proses pelantikan semula dan baharu bagi Ketua Kaum Bidayuh di sini agar ia tidak mendatangkan masalah kepada pentadbiran kerajaan di peringkat akar umbi.

Menurut Temenggung Bidayuh Bahagian Kuching Austin Dimin, lebih 60 peratus daripada Ketua Kaum di kawasan Bau, Lundu dan Kuching sama ada yang dilantik semula atau baharu dilantik belum lagi menerima sijil pelantikan sejak 31 Ogos tahun lepas.

“Seramai lebih 190 Ketua Kaum Bidayuh telah tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Ogos tahun lepas dan 80 peratus daripada mereka telah dilanjutkan perkhidmatan manakala 15 peratus lagi merupakan lantikan baharu.

“Bagaimanapun, sehingga sekarang lebih 60 peratus daripada mereka belum lagi menerima sijil lantikan daripada kerajaan dan ini menjadikan mereka sebagai Ketua Kaum yang tidak sah.

“Namun, saya tetap mengingatkan terutamanya Ketua Kaum yang dilantik semula supaya terus menjalankan peranan mereka seperti biasa,” katanya ketika ditemu bual, semalam.

Austin menambah kelewatan pemberian sijil pelantikan kepada Ketua Kaum ber-kenaan terutama yang dilantik semula turut menyebabkan mereka tidak dapat menerima elaun RM800 setiap bulan.

Justeru, beliau berharap agar kerajaan lebih prihatin terhadap kebajikan Ketua Kaum terbabit kerana keba-nyakan daripada mereka adalah bergantung pendapatan kepada elaun tersebut.

“Selagi sijil pelantikan tidak diberikan maka Ketua Kaum ini tidak akan menerima elaun daripada kerajaan.

“Bagaimanapun, sebaik sahaja sijil pelantikan diberi maka mereka akan dibayar elaun yang tertunggak secara sekali gus mengikut tempoh tunggakan,” katanya.

Sementara menjelas mengenai pelantikan baharu, Austin berkata kelewatan pemberian sijil pelantikan turut menyebabkan hampir 20 buah kampung tidak mempunyai Ketua Kaum buat masa sekarang.

Tambah beliau, keadaan itu juga telah memberikan kesukaran kepada penduduk kampung terlibat untuk mendapatkan tandatangan pengesahan mengenai sesuatu urusan daripada Ketua Kaum masing-masing.

“Penduduk boleh men-        dapatkan tandatangan dari-pada Ketua Masyarakat (Penghulu atau Temenggung) tetapi ini adalah sukar disebabkan oleh masalah perhubungan terutamanya melibatkan penduduk kampung dari kawasan jauh,” katanya.