PTI cuba menyusup masuk

0

PTI yang dikesan cuba memasuki negara ini melalui Bandar Tawau.

APMM tahan 14 PTI dalam sebuah bot laju dari negara jiran

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau menahan 14 pendatang tanpa izin (PTI) yang cuba menyusup masuk ke negara ini melalui Bandar Tawau.

Ketua Penguatkuasa Maritim Tawau Kepten (M) Anor Jaafar berkata, kesemua warga asing itu termasuk seorang juragan ditahan di sebuah bot laju kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin.

“Mereka disyaki menuju ke pantai Bandar Tawau dari arah Sg Melayu, Pulau Sebatik,” katanya, sambil mengesahkan kesemua suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Anor berkata, kehadiran bot laju terbabit yang mencurigakan disedari oleh APMM Tawau yang menjalankan rondaan dan tugas-tugas penguatkuasaan di kawasan perairan daerah ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua suspek yang ditahan berumur 20-an hingga 40-an dan terdiri daripada tujuh lelaki serta empat perempuan dewasa.

“Siasatan dibuka di bawah Akta Imigresen 1959/ 63,” katanya selain mendedahkan tiga kanak-kanak yang berusia empat bulan hingga tiga tahun turut ditahan.

Menyentuh hal berkaitan, Anor menyifatkan orang ramai masih mempunyai kesedaran yang rendah terhadap kes-kes kehadiran PTI di negara ini.

Beliau berkata, sikap sedemikian secara tidak langsung mengakibatkan kes-kes membawa masuk PTI ke negara ini terus berleluasa di kawasan perairan Sabah khususnya di Tawau.

“Struktur geografi Tawau yang berhampiran dengan Indonesia mengakibatkan kes-kes sebegini sentiasa berlaku berikutan terdapat banyak ‘lubang-lubang tikus’ memasuki sempadan negara.

“Justeru, orang ramai diharap sentiasa bekerjasama dengan kita membendung kegiatan sebegini dengan menyalurkan maklumat ke talian bebas APMM 089-752115/ 750116,” katanya.

Sementara itu di Semporna, Bernama melaporkan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna merampas 60 kilogram ikan pelbagai spesies bernilai kira-kira RM300 yang ditangkap menggunakan bahan letupan di perairan Labuan Haji.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohammad Madun berkata dalam operasi kira-kira pukul 5 petang itu, pihaknya turut menahan tiga warga asing berumur antara 15 hingga 30 tahun serta merampas dua buah bot yang dipercayai digunakan dalam aktiviti itu.

“Kami juga turut merampas peralatan yang digunakan dalam aktiviti mengebom ikan itu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26 (1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan bahan letupan.

Sehubungan itu, Mohammad berkata pihaknya akan mempertingkatkan operasi bagi membanteras kegiatan seumpama itu yang boleh merosakkan ekosistem dan menjejaskan industri pelancongan negara.