KDN akan perkenal Akta Pesara dan Bekas Polis

0

KUCHING: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkenalkan Akta Pesara dan Bekas Polis untuk menubuhkan jabatan khusus yang berperanan sebagai badan induk menjaga kebajikan pesara dan bekas polis di negara ini.

Timbalan Menterinya Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia masih lagi di peringkat kajian dan proses membuat perubahan pada draf undang-undang sebelum ia dibentang di Parlimen untuk kelulusan.

“Draf undang-undang yang buat masa ini kita panggil Akta Pesara dan Bekas Polis masih lagi di atas meja saya. Kalau undang-undang ini diluluskan nanti, maka wujudlah satu jabatan khusus menjaga kebajikan dan kebaikan pesara dan bekas polis seperti mana yang ada pada tentera.

“Itulah sebabnya saya meletak jawatan sebagai Pengerusi PBPS (Persatuan Bekas Polis Sarawak) supaya saya boleh melihat secara menyeluruh kesemua persatuan di bawah KDN kerana sebagai Timbalan Menteri, salah satu daripada tugas saya adalah menyelia persatuan-persatuan yang ada hubung kait dengan pesara dan bekas polis di negara ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Pendaftaran Persatuan Alumni Polis Sarawak di Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di sini, semalam.

Pada masa sama, Wan Junaidi memberitahu cadangan kerajaan untuk menubuhkan jabatan khusus sebagai badan induk itu juga dapat melindungi keperluan pesara dan bekas polis.

“Hampir setengah juta lepasan (pesara dan bekas) polis seluruh Malaysia. Mungkin ramai lagi di luar sana tidak menjadi ahli mana-mana persatuan atau badan yang tidak dijaga kebajikannya,” katanya.

Menurutnya lagi, badan induk itu nanti akan mempunyai wakil dari lima wilayah iaitu Utara, Tengah, Selatan, Sarawak dan Sabah.

“Siapa yang mewakili setiap wilayah itu nanti kita akan tentukan kerana kalau undang-undang itu diluluskan, kita akan ada jabatan dan di bawah jabatan ini, ada satu lembaga untuk melihat kebajikan bekas dan pesara polis seluruh Malaysia,” jelasnya.

Hadir sama Datuk Bandar DBKU merangkap Pengerusi PBPS Datuk Abang Wahap Abang Julai dan ahli-ahli persatuan.