KUCHING: Seramai 16 finalis bakal berentap untuk merebut gelaran Miss Cultural Harvest Festival pada tahun ini.
Kesemua finalis dipilih daripada 20 peserta yang hadir pada sesi pemilihan akhir yang dijalankan di Hotel Riverside Majestic di sini semalam.
Mendahului senarai finalis ialah Joanna Cynthia, 24, Dee Dee A’iene Peter (19), Atika Eli (18), Tijan Emang (21), Miselle Octovie Thomas (24), Caroline Meza Munan (23), Sapphira Elisha Jerry (20), Suryani Muklasin (20) dan Valerina Aren Alfred (18).
Tujuh lagi finalis ialah Carmilla Ivy Daniel Manja (20), Stepheni Johari (23), Diana Sim Siew Ling (24), Maryanne Lee (21), Celestina Jong Jat Choon (25), Angelia Lois (19) dan Josephine Jelawat James Jimmy (23).
Kesemua finalis dinilai berdasarkan keterampilan, personaliti dan bakat oleh juri yang dibarisi Pengarah Festival Zaini Zainuddin, Shamsul Kipli, Liyana Eddie dan Ratu WHF 2013 Roselind Sajah.
Peringkat akhir Miss Cultural Harvest Festival akan berlangsung pada 2 Mei nanti di Kampung Budaya Sarawak sempena Festival Menuai Sedunia atau World Harvest Festival (WHF) 2014.
Menurut Pengarah Festival Zaini Zainuddin menerusi kenyataan akhbar, WHF 2014 merupakan paling mencabar kerana mendapat penyertaan memberangsangkan selain ramai peserta yang berbakat.
“Pertandingan Ratu Cantik Etnik dahulu dikenali sebagai Ratu Fair & Lovely WHF kali ini mendapat penyertaan lebih 120 permohonan di seluruh bahagian.
“Finalis yang akan memenangi gelaran Ratu WHF 2014 bakal menerima wang tunai, mahkota, selempang dan hadiah sampingan lain,” katanya.
Pada tahun ini, WHF 2014 akan diadakan di Kampung Budaya bermula 2 Mei hingga 4 Mei nanti yang mana pelbagai acara lain turut dianjurkan.
Orang ramai yang berminat menyertai WHF 2014 boleh menghubungi kakitangan Kampung Budaya Sarawak di talian 082-846411/846108.
Tiket dijual pada harga RM60 seorang dan sekiranya orang ramai membuat pembelian awal sebelum 1 Mei, tiket hanya dijual pada harga RM30 seorang.