SIBU: Bampar sebuah kenderaan pacuan empat roda yang bernilai RM4,000 hilang ketika kenderaan terbabit diletakkan di tempat parkir bertingkat sebuah hotel di sini.
Terdahulu pemilik kenderaan tersebut telah menghantar kenderaan itu ke sini dari Kapit untuk diperiksa pada pagi kelmarin.
Selepas diperiksa dan dibaiki, pemiliknya dikatakan meletakkan kenderaan tersebut di tingkat satu tempat parkir bertingkat sebuah hotel tempat dia bermalam.
Bagaimanapun pada jam 8.30 pagi semalam ketika hendak berangkat ke Miri, pemilik kenderaan mendapati bampar belakang kenderaan itu hilang.
Dia kemudian mendapatkan pertolongan daripada penyelia hotel, memandangkan tempat parkir tersebut dipasang dengan kamera litar tertutup (CCTV).
Bersama dua penyelia hotel, pemilik kenderaan itu kemudian membuat laporan polis.
Dalam kes berasingan, seorang kakitangan awam menjadi mangsa rompakan dua lelaki ketika sedang menuruni tangga di Pasar Sentral Sibu, semalam.
Kejadian pada kira-kira jam 8.30 pagi itu berlaku ketika mangsa yang berasal dari Belawai, hendak pergi membeli-belah di pasar terbabit.
Menurut mangsa, dua lelaki yang memakai topi keledar berpenutup penuh menghampirinya dari bekalang sebelum menolaknya ke arah tangga.
Perompak dikatakan mengugut mangsa menggunakan objek tumpul dan memintanya menyerahkan semua barangan berharga.
Mangsa mendakwa kehilangan telefon bimbit, wang tunai RM700 serta dokumen penting.