Friday, September 17

Bau sedia buka pintu kepada peniaga, pelabur dari tempat lain

0

BAU: Sektor perniagaan di pekan Bau bersedia untuk membuka pintu kepada peniaga dan pelabur dari tempat lain dalam usaha meningkatkan sektor ekonominya.

Pengerusi Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bau Chong Yie Loong yang menyatakan hasrat itu yakin ia bakal membantu ke arah pertumbuhan positif ekonomi di pekan itu.

“Kami mengajak lebih ramai peniaga dari setiap tempat untuk melabur dan membuka lebih banyak perniagaan di pekan ini.

“Dan golongan belia yang telah menceburkan diri dalam perniagaan di pekan ini harus mempelajari pengalaman daripada golongan peniaga terdahulu,” katanya sewaktu berucap merasmikan Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bau, malam kelmarin.

Sementara itu, dalam ucapannya Chong juga berkata sejak dewan itu ditubuhkan Mei lepas, pihaknya mempunyai lebih daripada 30 usahawan yang menyertainya.

Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Mas Gading Anthony Nogeh menyeru agar permuafakatan dan hubungan mesra serta muhibah dengan semua kaum diteruskan.

“Sebab itulah kita sentiasa bersama-sama meraikan hari kebesaran seperti Hari Raya Aidilfitri, Gawai Dayak, Hari Krismas mahupun Tahun Baharu Cina.

“Dengan adanya perpaduan antara semua kaum di negara kita, maka kerajaan dapat mendirikan pembangunan yang lebih pesat lagi dan semoga semua rakyat dapat dipertingkatkan, itu yang penting sekali.

“Kita menjaga kedamaian, semoga yang menjalankan bisnes dapat menjalankan bisnes dan yang menjalankan kerja kerajaan dapat menjalankannya dengan baik,” tambahnya.

Nogeh turut mengumumkan geran kerajaan berjumlah RM40,000 kepada persatuan-persatuan Cina.

Beliau turut mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Cina di Bau dan mengharapkan semoga Tahun Kuda membawa kesihatan yang baik, umur panjang dan lebih banyak wang.

Pada majlis itu tetamu dihiburkan dengan persembahan tarian, acara karaoke dan cabutan bertuah.