Saturday, October 23

Perkongsian budaya, jalinan persahabatan Malaysia dan Indonesia dipereratkan lagi

0

KUCHING: Perkongsian budaya dan jalinan persahabatan antara dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia kini dipereratkan lagi bagi mengukuhkan jalinan sedia ada melalui penganjuran Majlis Suar Muhibah dan Andang Raya-Budaya.

Pengukuhan tersebut menjurus kepada memartabatkan budaya yang wujud di negara ini dan di Sarawak khususnya di samping bertukar pengetahuan mengenai amalan budaya Indonesia terutama di Palembang, Indonesia.

Selain itu, program yang dijangka akan diadakan pada 29 Mac itu juga menyasarkan kehadiran 50 delegasi dari Palembang, Indonesia bagi mewakili negara itu untuk mempersembahkan budaya mereka.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Peradaban dan Warisan Melayu Sarawak (ADAB) Shariff Busrah, program yang bakal diadakan itu berbentuk kemuafakatan antara kedua-dua negara di samping mendapat kerjasama penuh daripada kerajaan negeri.

“Program budaya ini merupakan anjuran dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Sarawak dan Palembang, Indonesia, namun demikian, kami (ADAB) juga menjalinkan usaha sama dengan pihak kerajaan negeri bagi menyokong penganjuran program itu.

“Sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Sarawak 2014, program ini juga dilihat dapat membantu menaikkan industri pelancongan sekali gus mempromosi budaya yang ada di sini kepada delegasi dari Indonesia,” katanya pada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Majlis Suar Muhibah dan Andang Raya-Budaya, di sini semalam.

Terdahulu, Penaung ADAB Sarawak Datuk Seri Ramle Mat Daly berkata, program seumpama itu juga diharapkan dapat mengangkat nama negeri ini selain menjadi medium untuk membina hubungan perpaduan antara dua negara terlibat.

“Saya berharap majlis seumpama ini dapat mengharumkan nama kerajaan Malaysia dan Sarawak terutama dalam usaha mempromosi warisan budaya yang sememangnya kaya di sini dan sekali gus mengembangkan perpaduan kaum yang pelbagai,” katanya.

Sebanyak 40 gerai pameran dan jualan produk kebudayaan Sarawak akan menjadi tarikan utama kepada delegasi dari Palembang untuk mengetahui latar belakang budaya di sini, akan dipamer pada 28 dan 29 Mac depan di Hotel Grand Margherita.

Hadir sama pada mesyuarat tersebut ialah Pengerusi Urus Setia ADAB Mazlan Abdul Wahap dan beberapa wakil NGO serta wakil jabatan kerajaan.