Pemahaman agama antara kaum dipertingkat menerusi bengkel IKIM

0

PEMAHAMAN AGAMA: Sebahagian daripada peserta dari Pusat Latihan Khidmat Negera (PLKN) Papar ketika mengikuti bengkel pengukuhan integrasi komuniti minggu keharmonian antara agama yang diadakan sehari di Universiti Malaysia Sabah (UMS) anjuran Pusat Perundingan dan Latihan IKIM (PPLI) di Kota Kinabalu, semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menganjurkan Bengkel Pengukuhan Integrasi Komuniti untuk meningkatkan lagi pemahaman agama antara pelbagai kaum di negara ini.

Fellow Pusat Perundingan dan Latihan IKIM Mohd Noor Omar berkata pemahaman mengenai agama dan isu-isunya perlu dipupuk dan diperkukuh dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum bagi membolehkan konflik ditangani dengan baik.

“Usaha memupuk kasih sayang dan perasaan saling menghormati adalah kunci utama kepada keharmonian hidup masyarakat pelbagai agama, kaum dan bangsa.

Generasi muda khususnya remaja harus mendapat pendedahan awal di usia muda agar mereka memahami pendekatan sebenar tentang isu-isu berkaitan,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Justeru itu, katanya bengkel sehari itu diadakan sempena Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dekat sini, bagi menanam semangat keharmonian dalam kalangan generasi itu.

Kira-kira 100 pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Wawasan di Papar menyertai bengkel itu yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Sekolah Sains Sosial dan UMS.

Mohd Noor berkata bengkel itu juga akan dijadikan sebagai modul baharu kepada pelatih-pelatih PLKN di kem latihan lain pada masa depan jika mendapat sokongan pihak berkenaan.

Antara modul yang dikongsi bersama pelatih dalam bengkel itu ialah “Keharmonian Hidup Bersama”, “Komunikasi Komuniti” dan “Ketarasedar: Sinergi dan Integrasi” yang memberi kemahiran dan pendedahan pentingnya sikap sayang menyayangi, hormat menghormati sesama, hidup harmoni dan saling memahami komunikasi antara budaya. — Bernama