Jumlah individu dapatkan bantuan agensi pengurusan kredit meningkat

0

KUALA LUMPUR: Jumlah individu yang ingin mendapatkan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) meningkat kepada 248,491 tahun lepas daripada 207,997 pada 2012.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata ini menunjukkan mereka yang lemah dalam pengurusan kewangan serta dibelenggu pinjaman, kini semakin menerima hakikat tentang pentingnya bagi mereka mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan masalah masing-masing.

“Ia juga menunjukkan kini semakin banyak orang sedar tentang kewujudan AKPK,” katanya kepada pemberita selepas melawat pejabat agansi itu di sini semalam.

Beliau berkata kerajaan berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kesan negatif akibat kemuflisan, terutama dalam kalangan belia, bagi mengurangkan kes kemuflisan di seluruh negara.

“Generasi muda perlu dimaklumkan tentang kesan daripada membuat pinjaman dan ketidakmampuan untuk melunaskan pinjaman,” katanya sambil menegaskan bahawa mereka yang disenaraikan sebagai muflis, perlu mencari jalan untuk menyelesaikan masalah itu.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak tertipu oleh individu yang menyamar sebagai ejen AKPK dan menuntut bayaran perkhidmatan kerana agensi itu tidak mengenakan sebarang bayaran bagi perkhidmatannya.

Mengulas tentang Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang akan meleapskan jawatannya, Nancy, yang juga Angota Parlimen Batang Sadong, berkata beliau yakin pengganti Taib akan memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan baik.

“Kami dididik sebagai satu entiti…sebagai sebuah keluarga, dan kami tidak akan bercakap tentang sesuatu isu kontroversi seperti bangsa dan agama. Itulah latihan yang kami terima sebagai ahli politik, terutama dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu,” katanya. — Bernama