Rakyat luar bandar tidak harus berasa terpinggir

0

BERJIWA RAKYAT: Abu Seman meluangkan masa dan bersantai dengan masyarakat dalam siri lawatan kerja di Matu, semalam.

MATU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Abu Seman Jahwie berkata rakyat di kawasan luar bandar tidak harus berasa diri mereka dipinggirkan dari arus pembangunan.

Beliau berkata, tanggapan itu adalah tidak berasas, malah gelombang kedua program transformasi pembangunan yang dilaksanakan kerajaan akan lebih banyak dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat di seluruh negara di kawasan luar bandar.

“Contohnya, di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng pelbagai projek pembangunan dilaksanakan untuk kepentingan dan keselesaan masyarakat di kawasan itu.

“Projek pembangunan di kawasan ini tidak pernah putus dan ia membuktikan rakyat Jemoreng sentiasa mendapat pembelaan kerajaan,” katanya.

Abu Seman berkata, kerajaan turut menyalurkan peruntukan di bawah projek kecil luar bandar (MRP) yang perlu dimanfaatkan untuk menampung pelbagai aktiviti dan projek di sekitar DUN Jemoreng.

“Justeru, rakyat DUN Jemoreng perlu terus setia bersama BN bagi memastikan lebih banyak pembangunan dilaksanakan,” katanya ketika meninjau pelaksanaan pelbagai projek di sekitar Matu, semalam.

Beliau memberitahu, rakyat perlu sedar bahawa kerajaan tidak pernah menganaktirikan masyarakat luar bandar, sebaliknya mereka sentiasa mendapat perhatian kerajaan yang memastikan mereka menikmati peluang sama rata.

“Masyarakat luar bandar tetap mendapat keistimewaan daripada kerajaan malah mereka berpeluang menikmati pembangunan.

“Perubahan terhadap model baharu ekonomi mampu menjadi pemangkin kepada rakyat untuk meningkatkan pendapatan daripada sederhana kepada lebih tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat agar terus mengekalkan perpaduan demi kelangsungan pembangunan.

“Paling penting semangat kerja berpasukan dipupuk dan menjadikan aktiviti penambahbaikan sebagai satu budaya dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan,” katanya.