Penduduk bimbang jalan kian teruk akibat lori lebih muatan

0

KUCHING: Penduduk Kampung Bungin, Saribas melahirkan kebimbangan terhadap masalah kerosakan jalan di kawasan mereka yang semakin teruk akibat kemasukan lori-lori balak dan sawit lebih muatan ke situ.

Menurut mereka, jalan yang sememangnya menunggu masa untuk dibaik pulih oleh pihak berwajib itu menjadi semakin teruk akibat pihak tidak bertanggungjawab terbabit.

Salah seorang penduduk, Zam Zam Yakop, 46, memberitahu penduduk bersepakat melaporkan perkara tersebut kepada pemberita kerana tidak tahan dengan keadaan yang semakin membimbangkan itu.

“Pengusaha ini telah mengaut keuntungan, tetapi penduduk ditimpa masalah dengan keadaan jalan rosak teruk, berlubang dan berdebu,” katanya ketika menghubungi Utusan Borneo semalam.

“Laporan kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah kami buat dan dalam masa terdekat ini kami akan melaporkan keadaan ini kepada pihak polis tentang perkara ini.

“Apa yang kami mahukan ialah pihak terbabit lebih bertanggungjawab dan bukan hanya mengaut keuntungan sahaja,” tegasnya.

Jelasnya, keadaan jalan rosak tersebut telah menimbulkan kesukaran kepada kira-kira 1,800 penduduk di kampung berkenaan dan sekitarnya memandangkan ia merupakan laluan utama mereka setiap hari.

Seorang lagi penduduk Adi Sapiee, 45, berkata, lori berkenaan keluar masuk tanpa mengira waktu termasuk ketika anak-anak penduduk pergi dan balik dari sekolah yang dikhuatiri membahayakan keselamatan mereka.

Menurutnya, keadaan jalan itu turut mendedahkan pengguna terutama penunggang motosikal kepada bahaya.

“Kami amat berharap pihak bertanggungjawab segera melakukan kerja-kerja baik pulih demi keselamatan dan keselesaan penduduk.

“Sebelum ini pihak berwajib pernah membaik pulih jalan itu, bagaimanapun kerja baik pulih di jalan itu seperti tertangguh dan terbiar agak lama.

“Keadaan ini menyebabkannya rosak semula setelah dilalui lori-lori besar dengan muatan berlebihan di sini,” jelasnya.

Sementara itu, Fizi Roslan, 25, berkata, penduduk dari Kampung Bungin serta penduduk sekitarnya seperti Serembang, Mangut, Supa dan Tui akan menikmati kemudahan perhubungan yang lebih selesa jika kerja baik pulih berkenaan diteruskan oleh pihak berwajib.

“Saya berharap perkara ini diberi perhatian yang sewajarnya memandangkan jalan ini bukan hanya digunakan untuk pelajar-pelajar sekolah, malah turut menjadi laluan penghubung untuk beberapa buah kampung yang berdekatan,” katanya.

Jelasnya, penduduk menghadapi kesukaran setiap kali melalui jalan tersebut memandangkan keadaan jalan yang berlubang-lubang serta berdebu.

“Kami berharap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin bagi memberi keselesaan kepada penduduk di sini.

“Saya amat berharap, masalah ini dapat ditangani segera supaya laluan tersebut dapat dibaiki dengan sempurna untuk kegunaan semua,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam ketika dihubungi turut memohon kepada pihak yang bertanggungjawab supaya segera menyiapkan kerja-kerja baik pulih ini secepat mungkin bagi mengelak masalah kepada penduduk setempat.

“Sekiranya masalah ini masih lagi berlarutan, saya akan cuba membawa masalah ini kepada pihak bertanggungjawab selain merujuk kepada jabatan berkaitan bagi mempercepatkan usaha baik pulih,” katanya.

Rata-rata penduduk turut meluahkan keresahan memandangkang pada 14 hingga 16 Mac akan datang Pesta Bungin 2014 bakal dianjurkan di situ.