Rakyat Sarawak perlu kuasai pendidikan

0

SIBU: Penguasaan ilmu pengetahuan adalah amat penting bagi memastikan masa depan Sarawak cerah sekali gus mencapai status negeri termaju dan rakyat berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

Menteri Perumahan dan Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, dengan mempunyai sumber-sumber semula jadi dan perancangan strategik ekonomi kukuh adalah kelebihan buat Sarawak merealisasikan kedua-dua sasaran tersebut.

“Apa yang penting bagi menuju status sebagai sebuah negeri termaju dan berpendapatan tinggi, rakyatnya harus menguasai pendidikan.

“Pendidikan itu adalah tenaga mahir yang boleh menggerakkan sumber-sumber tertentu bagi memacu bidang ekonomi seterusnya menjana pendapatan rakyat.

“Tanpa tenaga mahir dan pendidikan, kita mungkin tidak mampu mengubah Sarawak pada masa akan datang,” katanya pada Majlis Konvokesyen Kedua Kolej Laila Taib (KLT) di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Muda Perumahan merangkap Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Hamzah, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta Pengarah Eksekutif Kristal Harta Sdn Bhd (Cats FM) Datuk Hanifah Taib Alsree.

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KLT Eric Wong, Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee, Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Andrew Wong, Panglima Infantri 9 Briged Brigadier Jeneral Muhammad Daniel @ Damien Abdullah dan Temenggung Vincent Lau.

Seramai 283 graduan diploma jurusan Seni Bina, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik/Elektronik, Kuantiti Survei dan Pengurusan Perniagaan masing-masing dikurniakan diploma yang disampaikan oleh Abang Johari.

Karen Wong (Diploma Pengurusan Perniagaan) dianugerahkan Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib sekali gus dinobatkan pelajar cemerlang pada konvokesyen kali ini.

Graduan cemerlang lain ialah Vincent Chin (Diploma Seni Bina), Ivan Hong (Diploma Kejuruteraan Awam), Derrick Ling (Diploma Kejuruteraan Elektrik/Elektronik), Vivien Lau (Diploma Kuantiti Survei) dan Maria Wong (Diploma Pengurusan Perniagaan).

Abang Johari menegaskan, hanya pendidikan yang mampu memastikan Sarawak terus maju pada masa akan datang.

Sementara itu, beliau menyifatkan kewujudan KLT sebagai relevan dengan kerancakan pertumbuhan ekonomi yang dirancang oleh kerajaan selama ini yang memerlukan tenaga mahir untuk menggerakkannya.

“Tenaga-tenaga mahir khususnya dari generasi muda sangat diperlukan oleh kerajaan. Kerajaan banyak merancang kegiatan ekonomi bagi pertumbuhan pesat ekonomi untuk memacu negeri ke arah pendapatan tinggi.

“Sudah semestinya apa dipelajari di KLT sangat relevan dan berguna untuk pertumbuhan pesat industri di negeri ini yang semakin pesat dan sangat memerlukan tenaga mahir.

“Manfaatkanlah apa yang anda belajar di sini dan sumbangkan khidmat dengan sebaik mungkin. Kalau boleh jangan setakat diploma sahaja, teruskan menyambung pendidikan hingga ke tahap lebih tinggi,” tegasnya.

Beliau menyifatkan pendidikan ini adalah sebagai pelaburan masa depan kerana makin tinggi pendidikan maka makin besar pula pendapatan diperolehi.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan graduan agar sentiasa menerapkan integriti dan tahap disiplin tinggi apabila berada dalam komuniti setempat.

“Ingatlah, pendidikan dan kestabilan dalam keamanan menjamin keharmonian dan hubungan pelbagai kaum di negara ini. Kita harus pertahankan apa yang kita kecapi sekarang. Sumbangkan segala pengalaman dan pendidikan kepada negeri ini dengan sebaik mungkin.

“Negara yang aman ini adalah hasil pengukuhan berbilang kaum yang hidup aman dan damai. Kita mahu suasana ini berterusan agar impian dan sasaran negara kita mampu dicapai seterusnya membolehkan rakyat berkongsi bersama,” katanya.