Sokong inisiatif untuk ceriakan Miri

0

MIRI: Miri memerlukan sokongan daripada semua pihak untuk menjadikan sebuah bandar raya yang ceria dan berupaya menarik lebih ramai pengunjung dan peniaga.

Menteri Muda Perhubungan, Datuk Lee Kim Shin berkata kerajaan melalui agensi dan badan seperti Majlis Bandaraya Miri (MBM) tidak dapat melakukan semua aktiviti kerana terhad dari aspek tertentu.

Katanya, keutamaan dan tumpuan MBM ialah menguruskan hal aktiviti berkaitan perkhidmatan dan perbandaran, justeru kerjasama orang luar atau pihak tertentu untuk mengadakan aktiviti hiburan amatlah dialu-alukan.

“Justeru, apabila ada pihak mahu menganjurkan acara muzik dan hiburan dengan membawa pemain dari luar negara, kerajaan sudah tentu amat menyambut baik,” katanya pada sidang media Miri Country Music Festival (MCMF) di sini malam kelmarin.

Terdahulu, beliau mendengar taklimat mengenai MCMF termasuk jualan tiket. Festival berkenaan dibahagikan kepada tiga segmen iaitu dua bengkel muzik diikuti konsert sebelah malam.

Lapan kumpulan muzik dari Amerika Syarikat, Singapura, Brunei dan Malaysia turut mengadakan persembahan.

Dalam pada itu, Lee memuji jawatankuasa penganjur diketuai oleh Pengarah Urusan UCSI, Gracie Geiki kerana festival berkenaan berjaya mendapat sokongan baik walaupun pertama kali diadakan di sini.

“Saya yakin festival ini akan berkembang dan terus diterima baik bukan hanya masyarakat tempatan bahkan pengunjung dari luar khususnya dari Brunei dan ekspatriat di sini,” katanya.

Beliau berkata, festival itu akan menambahkan acara antarabangsa tahunan di Miri seperti Borneo Jazz Festival, Asean Music Festival selain acara pertandingan memancing antarabangsa laut dalam dan Cabaran Kapal Layar.