Felda United bakal tersungkur!

0

ALBERTS

Alberts berharap anak-anak buahnya memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri

KUCHING: Biarpun beraksi di gelanggang keramat, Stadium Negeri Kuching, Sarawak tidak memandang rendah kemampuan Felda United dalam saingan suku akhir kedua Piala FA 2014 di sini malam ini.

Suku akhir pertama yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang minggu lalu menyaksikan kedua- dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Dalam perlawanan penting itu, skuad kendalian Robert Alberts beraksi tanpa Junior Eldstal yang digantung selepas menerima kad merah ketika aksi menentang Perak dalam saingan Liga Super malam Sabtu lalu.

Bagaimanapun, pertahanan kental Ronny Harun yang direhat dalam perlawanan sebelum ini akan diturunkan untuk mengemudi jentera pertahanan bersama Gabor Gyepes, Mohd Hairol Mokhtar dan Ramesh Lai.

Alberts ketika dihubungi semalam berkata, Felda United merupakan pasukan yang mantap kali ini kerana diperkuatkan beberapa pemain berpengalaman.

Antara pemain berpengalaman yang beraksi bersama Felda United termasuk Mohd Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin.

“Kita tidak memandang rendah kemampuan pasukan ini (Felda United) kerana mereka mempunyai beberapa pemain berpengalaman,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu anak-anak buahnya yang diketuai Joseph Kalang Tie memperagakan aksi mantap untuk memastikan Sarawak layak ke pusingan separuh akhir.

“Kita masih ada peluang untuk layak ke separuh akhir. Saya berharap pemain dapat memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri,” katanya.

Menurutnya, pasukan Sarawak akan menampilkan permainan menyerang dari awal perlawanan untuk memastikan banyak jaringan mampu dihasilkan.

“Saya yakin setiap pemain akan bermain habis-habisan untuk memastikan kita menang dalam perlawanan ini,” kata Alberts.

Pemenang antara Sarawak dan Felda United akan bertemu sama ada Kelantan atau Selangor PKNS di peringkat separuh akhir yang berlangsung pada 6 Mei (separuh akhir pertama) dan 20 Mei (separuh akhir kedua).

Aksi Sarawak seterusnya dalam Liga Super akan menentang T-Team di gelanggang lawan (Stadium Sultan Ismail) pada 8 Mac.