Masalah sekolah Sarawak diutama

0

MESRA: P.Kamalanathan bersalaman dengan pelajar SMK Sungai Tapang ketika lawatan kerja beliau ke sekolah berkenaan di Kuching semalam. — Gambar Muhd Rais Sanusi

Kementerian Pendidikan komited bantu selesai masalah dihadapi sekolah-sekolah di negeri ini

KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia komited untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi sekolah-sekolah di negeri ini demi kepentingan para pelajar.

Timbalan Menteri Pendidikan Kedua P.Kamalanathan berkata atas komitmen itu juga beliau telah mengadakan lawatan kerja ke negeri ini bagi mendapatkan input secara terus untuk dibawakan kepada pihak kementerian di peringkat persekutuan.

“Pagi tadi saya telah bermesyuarat dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan beberapa isu telah dibangkitkan antaranya termasuk soal penyelerasan jawatan, penempatan guru serta pelaksanaan program satu bestari net.

“Melihat kepada isu-isu yang dibangkitkan saya dapati ada yang dapat diselaraskan dalam masa terdekat dan ada juga yang perlu mengambil masa yang lama tetapi yang pasti saya akan membawanya bersama kepada pihak kementerian.

“Saya percaya tidak akan ada masalah yang tidak dapat diselesaikan di dunia ini dan apa sahaja isu saya akan pastikan ia dapat diselesaikan,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke SMK Sungai Tapang di sini semalam.

Menyentuh mengenai perkembangan sekolah-sekolah di negeri ini, Kama-lanathan berkata semua sekolah dilihat memerlukan bantuan sama ada jangka     pendek mahupun jangka panjang.

“Semua sekolah ada kekurangan, tetapi yang penting ingin saya tegaskan bahawa kementerian komited untuk memastikan bantuan dan keperluan disegerakan menerusi kerjasama erat antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri,” ujarnya.

Ditanya mengenai peruntukan tambahan berjumlah RM1 bilion bagi sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak, Kamalanathan berkata ia akan disalurkan dalam masa terdekat oleh kementerian kepada sekolah-sekolah yang berkenaan.

Menteri Pendidikan yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat lepas berkata peruntukan tersebut adalah sebagai tambahan kepada peruntukan tahun ini.

Ia katanya, akan diagihkan secara berperingkat bagi membaik pulih sekolah-sekolah daif di Sabah dan Sarawak.