Pekan Lubok Antu dilanda ribut kencang

1

DIHEMPAP POKOK: Zaini (dua kanan) bersama penduduk kampung melawat rumah Salamah Abdullah yang dihempap sebatang pokok dalam kejadian itu.

LUBOK ANTU: Ribut kencang yang melanda pekan Lubok Antu, dalam bahagian Sri Aman telah menyebabkan beberapa batang pokok dan tiang elektrik tumbang manakala atap rumah berterbangan dalam kejadian yang berlaku pada jam 2.30 pagi semalam.

Kejadian itu telah menyebabkan kawasan sekitar pekan Lubok Antu terputus bekalan elektrik dan menyebabkan kawasan itu bergelap seketika.

Namun begitu tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu.

Pembantu Khas Parlimen Lubok Antu Zainie Ajie berkata, kejadian seumpama itu jarang berlaku dan ia amat mengejut penduduk Lubok Antu.

“Saya telah melawat sebuah rumah di perkampungan Melayu Lubok Antu yang dihempap sebatang pokok besar dalam kejadian itu.

“Saya akan memaklumkan kejadian itu kepada Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak untuk membantu mangsa,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, semalam.

Difahamkan Pejabat Daerah Lubok Antu akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi untuk mengambil tindakan lanjut susulan kejadian itu.