Pondok bayaran parkir disimbah cat

0

TIDAK BERTANGGUNGJAWAB: Pondok letak kereta milik MBM di Jalan Tritonia disimbah dengan cat awal pagi semalam.

MIRI: Sebuah pondok bayaran parkir milik Majlis Bandaraya Miri (MBM) di Jalan Tritonia di sini disimbah dengan cat pagi semalam dipercayai angkara pihak yang tidak berpuas hati dengan operasi Miri Parking System (MPS).

Menurut salah seorang kakitangan MPS yang enggan namanya disiarkan, pondok berkenaan sudah disimbah menggunakan cat apabila dia sampai di pondok tersebut awal pagi semalam.

“Saya percaya ia dilakukan awal pagi tadi kerana semasa saya sampai cat tersebut masih basah,” katanya sambil menambah kawasan lantai pondok berkenaan disimbah dengan cat berwarna oren dan kuning.

Sementara itu Datuk Bandar Miri Lawrence Lai ketika dihubungi kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menyimbah cat tersebut.

“Kami akan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah membuat laku musnah tersebut.

“Ini bukan sahaja menyusahkan MBM kerana perlu membaiki pondok tersebut namun ia merugikan wang pembayar cukai,” katanya.

Lawrence menambah, beliau sudah memaklumkan kepada pihak MPS untuk membuat laporan polis dan menyiasat kejadian tidak bertanggungjawab itu.

Sejak MPS mengambil alih sistem letak kereta di Miri pada 1 Januari lalu, ramai warga Miri tidak berpuas hati terutama dengan notis saman yang disifatkan membebankan pemilik kenderaan.

“Orang ramai yang tidak berpuas hati dengan MPS boleh menggunakan kaedah lain untuk menyuarakan pandangan mereka bukannya membuat laku musnah terhadap harta benda awam,” katanya sambil menambah selain pondok MPS turut menjadi sasaran laku musnah ialah tong sampah beroda.

Tegas Lawrence, MBM tidak akan berkrompomi dengan mana-mana pihak yang membuat laku musnah terutama membabitkan harta benda MBM.