458 kes pembakaran terbuka dikesan sejak awal tahun ini

0

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan 458 kes pembakaran terbuka termasuk yang melibatkan kawasan pertanian dan belukar sejak awal tahun ini.

Jumlah itu meliputi 199 kes pembakaran terbuka di kawasan pertanian, kawasan hutan (103 kes), kawasan belukar (92 kes), kawasan industri (17 kes), kawasan pembinaan (14 kes), tapak pelupusan sampah (tujuh kes) dan lain-lain pembakaran terbuka kecil (26 kes).

JAS dalam kenyataan semalam menyatakan dalam tempoh sama, sebanyak 68 kes pembakaran terbuka telah dikenakan tindakan kompaun manakala notis amaran dikeluarkan bagi 22 kes lain.

Mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, selain boleh dikenakan kompaun maksimum RM2,000 atas setiap kesalahan.

Dalam pada itu, JAS mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka di semua negeri berikutan cuaca panas dan kering yang kini melanda negara.

Pelaksanaan prosedur tetap operasi Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut Yang Mudah Terbakar juga ditingkatkan bagi mencegah dan mengawal sebarang punca tempatan yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara dan jerebu.

Sehubungan itu, JAS menasihatkan semua pihak supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki penceroboh yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

Orang ramai juga diminta bekerjasama memadam kebakaran-kebakaran kecil dan melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727. — Bernama