Monday, June 14

Jangan main isu keagamaan: Polis

0

Setiap orang, termasuk ahli politik sepatutnya tidak keluarkan kenyataan

GEORGE TOWN: Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin meminta semua pihak agar tidak memainkan isu agama dan menghina institusi rumah ibadat kerana ia boleh menimbulkan masalah kepada negara.

Beliau berkata polis bimbang jika pihak tertentu terus menimbulkan isu berkaitan agama, ia akan membawa kepada ketegangan kaum.

“Jangan main isu keagamaan terutama melibatkan institusi rumah ibadat secara keterlaluan kerana ia boleh menjadi masalah negara. Setiap orang, termasuk ahli politik, sepatutnya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu itu.

“Biar polis jalankan siasatan secara terperinci berhubung apa jua kes yang berkaitan isu keagamaan dan institusi rumah ibadat. Saya nasihatkan orang ramai jangan buat spekulasi atau tuduhan terhadap mana-mana pihak,” katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar mengenai rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini semalam.

Mohd Bakri berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa insiden menghina agama dan institusi rumah ibadat, termasuk yang terbaru kejadian pihak tidak bertanggungjawab melempar seketul daging, dipercayai daging khinzir, di sebuah masjid di Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam dekat sini.

Berhubung kejadian itu, Mohd Bakri berkata kes itu dalam siasatan dan polis masih menunggu laporan daripada Jabatan Veterinar untuk mengenal pasti jenis daging berkenaan.

“Kami perlukan kerja-sama orang awam bagi membantu siasatan kes itu…tanpa penglibatan mereka (orang awam) agak sukar untuk dapatkan bahan bukti,” katanya.

Dalam kejadian Ahad lepas, seorang lelaki yang mahu menunaikan solat Subuh di Masjid Cherok Tok Kun Atas, Machang Bubok menemui seketul daging yang mencurigakan di hadapan pintu masjid.

Mengesyaki ketulan sebesar dua tapak tangan orang dewasa itu daging khinzir, Saad Arop, 78, yang juga pembantu imam masjid berkenaan membuat laporan polis. — Bernama