Malaysia terus mengorak langkah

0

NURUL AMIRAH

KUCHING: Malaysia mara ke separuh akhir Kejohanan Tenis Remaja Dunia Pra-Kelayakan Asia/Oceania 2014 setelah membenam Lubnan 2-1 di gelanggang Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) semalam.

Pilihan pertama kejohanan itu bagaimanapun dikejutkan dengan kekalahan Nurul Amirah Ahmad Zamzury dalam saingan perseorangan wanita pertama di tangan Gaelle Abov Abdo dengan 6-3, 3-6, 3-6.

Kekalahan beliau bagaimanapun berjaya ditebus Suhana Sofia Mohd Adam yang mudah menundukkan Sarah Nassif 6-1, 6-3.

Malaysia memperolehi mata kedua menerusi setelah gandingan Suhana dan Sharifah Elysia Wan Abdul Rahman yang berjaya menewaskan Yara Fayssal-Gaelle 6-4, 3-6, 6-1.

Dalam satu lagi saingan separuh akhir Kyrgyzstan bakal turun menentang Turkmenistan.

Kyrgyzstan sebelumnya berjaya mengatasi Singapura 2-1.

Mereka memperolehi mata menerusi perseorangan pertama Eliza Akarova yang menundukkan Charmaine Sean 6-3, 6-2.

Mata kedua pula diperolehi menerusi beregu Eliza dan Ermeka Nurgazieva 6-3, 6-4.

Perseorangan kedua Ermeka pula tewas 3-6, 4-6 di tangan Ashley Yim.

Sementara itu, Kazakhstan mendahului kedudukan Piala Fed Remaja setelah mencatat kemenangan kedua semalam.

Ia disusuli Sri Lanka, Iran, Kyrgyzstan dan Turkmenistan.

Kazakhstan mudah menundukkan Turkmenistan 3-0 pada perlawanan kedua mereka semalam.

Kamilla Bolatova meraih mata pertama dengan menewaskan Diana Ziyatova 6-0, 6-2.

Gozal Ainitdinova pula menghadiahkan mata kedua dengan mengetepikan Arzuv Klycheva 6-2, 6-0 sebelum gandingan Kamilla dan Milana Lyssova memastikan mata ketiga dengan menewaskan Arzuv-Diana (6-0, 6-0).

Satu lagi saingan menyaksikan Iran menang mudah 3-0 ke atas Kyrgyzstan.