Pastikan kemenangan milik Sarawak

0

PERSIAPAN TERAKHIR: Johnny (kanan) memberikan arahan kepada pemainnya semasa sesi latihan sebagai persediaan menghadapi Selangor petang ini.

KUCHING: Ketua Jurulatih skuad Piala Presiden Johnny Dominicus mahu anak-anak buahnya kembali fokus dalam memburu tiga mata penuh pada perlawanan menentang Selangor di Stadium Negeri petang ini.

Katanya, sekalipun skuad lawan sedang berada dalam prestasi kemuncak, ia bukan kekangan bagi mereka untuk memastikan kemenangan milik Sarawak.

“Kita tahu Selangor berada dalam prestasi terbaik ketika ini. Namun ia bukan satu kekangan bagi Sarawak memastikan kemenangan di laman sendiri petang ini,” kata Johnny ketika mengulas perkara itu semalam.

Katanya, kekalahan 1-3 AMIRAHdi tangan Negeri Sembilan Isnin lalu membuka ruang kepada beliau mengenal pasti kelemahan yang masih ada dalam skuadnya.

Justeru, beliau akan mempertaruhkan percaturan baharu dalam kesebelasan utama skuadnya petang ini.

“Bagi perlawanan petang ini, kita akan menurunkan semula Tommy Mawat Bada dan Badrul Azahar Adenan bagi memantapkan barisan serangan,” tambahnya.

Sarawak hanya mencatat satu kemenangan dari lima perlawanan yang dilalui mereka setakat ini.