Penarik kereta mengaku tidak bersalah bunuh pengasas AmBank

0

KUALA LUMPUR: Penarik kereta Koong Swee Kwan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi semalam atas pertuduhan membunuh pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian (AmBank) Hussain Ahmad Najadi di sebuah tempat letak kereta, Julai tahun lalu.

Koong, 45, turut mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Azman Husin di sini terhadap pertuduhan cubaan membunuh isteri pengasas bank itu, Cheong Mei Kuen, 49.

Mahkamah menetapkan dua minggu bermula 9 hingga 20 Jun untuk perbicaraan.

Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abd Karim memberitahu media bahawa antara 15 hingga 20 saksi akan dipanggil memberi keterangan.

Pada 3 Okt lepas, Koong didakwa atas pertuduhan membunuh pengasas bank itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Koong yang diwakili peguam Zamri Idrus, turut berdepan pertuduhan cubaan membunuh isteri mangsa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukumanpenjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta Tokong Cina Kuan Yin No.4 Lorong Ceylon, Daerah Dang Wangi, di sini pada 1.30 petang hingga 2 petang, 29 Julai 2013.

Dalam kejadian itu, Hussain, 75, maut manakala isterinya cedera parah setelah ditembak dari jarak dekat sejurus keluar dari tokong berkenaan selepas dilaporkan berunding mengenai urusan perjanjian tanah. — Bernama