Harga hampir separuh bahan binaan untuk membina rumah panjang telah naik
SIBU: Jumlah pinjaman untuk membina rumah panjang di Sarawak wajar dinaikkan bagi menjadikannya lebih releven.
Kaunselor Pasang Ngalambai berkata, harga hampir separuh bahan binaan yang diperlukan untuk membina rumah panjang telah naik sejak kebelakangan ini.
Jumlah pinjaman sebanyak RM10,000 yang diberikan ketika ini katanya sudah tidak lagi releven dan tidak banyak membantu mengurangkan beban perbelanjaan pemohon pinjaman.
“Pada pendapat saya sudah tiba masanya jumlah pinjaman itu dinaikkan antara RM15,000 hingga RM20,000.
“Ini kerana jumlah pinjaman sedia ada lebih banyak memberi kerugian kepada peminjam,” ujarnya ketika dihubungi semalam.
Pasang berkata peminjam bukan sahaja terpaksa membayar balik pinjaman mereka tetapi pada masa yang sama rumah panjang mereka juga tidak siap.
“Kita boleh tengok rumah yang dibina untuk Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan kos RM50,000, itu pun masih banyak kekurangan apatah lagi membina rumah panjang dengan jumlah pinjaman sebanyak RM10,000,” katanya.
Pasang berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat 1Malaysia Sarawak Datuk Joseph Salang Gandum yang mahukan jumlah siling pinjaman untuk membina rumah panjang di Sarawak dinaikkan.
Salang berkata pinjaman RM10,000 yang dibenarkan kepada setiap keluarga sekarang adalah tidak mencukupi.
Ahli Parlimen Julau itu memberitahu bahawa harga bahan binaan seperti kayu dan simen telah meningkat.
“Tambahan pula bila kita dapat pinjaman, kita hanya dapat bahan binaan daripada kontraktor yang dilantik, bukannya mendapat tawaran lain yang lebih kompetitif bagi bahan binaan,” kata Salang.
Beliau berkata demikian ketika menyuarakan pandangan tersebut pada satu majlis di Rumah Seli Nyambong di Nanga Lioh di Julau baru-baru ini.
Sementara itu, Kaunselor Dr Ali Puji turut sependapat dengan Pasang yang mahukan jumlah pinjaman itu dinaikkan.
Pun begitu katanya, kerajaan perlu meneliti pelbagai aspek sebelum jumlah pinjaman tersebut dinaikkan.
“Perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah kemampuan peminjam untuk membayar balik pinjaman tersebut,” jelas beliau.
Selain itu Ali mahu segala urusan berkaitan urusan proses pinjaman juga dipermudahkan.