sePenduduk mohon dibenar guna gelanggang terbuka

0

DITUTUP: Seorang penduduk Sukun melihat gelanggang terbuka di Sukun yang ditutup sejak pertengahan tahun lepas.

SIBU: Penduduk di Jalan Sukun merayu kepada pihak berkuasa berkaitan agar memberi kebenaran kepada mereka menggunakan kemudahan di gelanggang terbuka yang ada di kawasan perumahan terbabit.

Menurut seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Man, gelanggang berbumbung terbabit atau lebih dikenali sebagai Dewan Sukun di kalangan penduduk telah ditutup sejak pertengahan tahun lepas.

“Dengan menutup pintu masuk ke gelanggang ini, bagaimana penduduk hendak menggunakannya untuk tujuan rekreasi.

“Tambahan, ini satu-satu kemudahan yang kami ada,” ujarnya kepada pemberita, semalam.

Difahamkan, pintu masuk ke gelanggang itu ditutup se tiap masa sejak pertengahan tahun lepas.

Sebelum ini, gelanggang berkenaan digunakan penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat di Sukun menjalankan aktiviti sukan seperti futsal, badminton, sepak takraw, bola tampar, bola jaring dan hoki.

“Kami tertanya-tanya mengapa pihak berkenaan mengunci pintu gelanggang ini ketika penduduk di sini amat memerlukan tempat yang selamat untuk menjalankan aktiviti rekreasi.

“Sebelum ini, ia tidak pernah dikunci dan penduduk di Sukun telah menggunakan kemudahan yang ada di gelanggang ini dengan baik,” jelas Man.

Sehubungan itu beliau merayu kepada pihak berkenaan agar membenarkan penduduk Sukun terus menggunakan gelanggang atau dewan terbuka tersebut.

“Penduduk amat berharap agar gelanggang ini dibuka kepada penduduk untuk digunakan semula.

“Mungkin pihak berkenaan boleh membuka gelanggang ini dari jam 5 pagi hingga 11 malam,” ujarnya.