Miri kembali ‘diserang’ bubuk, beri pendapatan lumayan kepada nelayan

0

MIRI: Udang geragau atau lebih popular dipanggil bubuk di kalangan orang tempatan kini kembali ‘menyerang’ Miri.

Tinjauan Utusan Borneo di perkampungan nelayan di Kuala Baram semalam, mendapati bahan utama untuk membuat belacan itu dijual pada harga RM8 sekilogram.

Menurut Lina Drahman 34, mereka sekeluarga mengambil kesempatan kembalinya musim bubuk ini untuk mendapatkan sedikit wang lebih.

“Musim bubuk terhad iaitu hanya selama beberapa minggu tetapi turut mengikut keadaan cuaca,” jelasnya kepada Utusan Borneo.

Pembeli pula kata beliau, kebiasaannya terdiri daripada penduduk tempatan tetapi kadangkala turut dibeli oleh warga Brunei.

Seorang nelayan, Julis Edwin pula berkata ketika ini pendapatan nelayan boleh meningkat dengan lumayan.

“Selepas ditolak perbelanjaan minyak dan lain-lain, kita boleh dapat RM1,000 untuk seminggu ketika musim bubuk,” ujarnya.

Ramai juga orang yang mempunyai kerja lain turut menjadi nelayan ketika hujung minggu.

“Sekarang bukan hanya Melayu menangkap ikan di Lutong, tetapi Iban dan Cina turut menjadi nelayan kerana ia adalah pekerjaan yang boleh menghasilkan wang dengan segera,” tambahnya.