Sempat selamatkan diri sebaik merasakan keadaan di dalam rumah tiba-tiba jadi panas
KUCHING: Sepasang suami isteri berjaya menyelamatkan diri sebaik merasakan keadaan di dalam rumah mereka tiba-tiba menjadi panas sebelum api semakin marak memusnahkan sederet rumah kedai dalam satu kebakaran malam kelmarin.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mat memberitahu bahawa dia dan isterinya sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah sewanya itu di Kampung Bratan, Batu 16, Jalan Puncak Borneo, dekat sini ketika insiden tersebut berlaku sekitar jam 9 malam.
Menurutnya, dia sebelum itu ada terhidu bau asap namun tidak mengendahkannya sebelum keadaan di dalam rumahnya tiba-tiba menjadi panas dan kendengaran bunyi mencurigakan dari sebuah bengkel motosikal bersebelahan dengan rumah sewanya itu.
“Mulanya saya ada hidu bau asap, tetapi saya ingatkan jiran saya sedang membakar sampah dan saya tidak mempedulikannya sehingga semakin lama saya rasa semakin panas dan ada bunyi seperti kayu sedang terbakar dari bilik sebelah.
“Saya kemudian terus periksa ke bahagian dapur dan terkejut apabila melihat asap sudah mula masuk dari celah-celah dinding dan api juga sudah mula kelihatan menyebabkan saya dan isteri segera menyelamatkan diri,”katanya.
Tambahnya lagi, semasa berlari keluar dari dalam rumah, dia hanya sempat menyelamatkan dua telefon bimbit dan kunci kereta.
“Mujur saya sempat mengambil kunci kereta dan berjaya mengalihkan kereta saya dari hadapan rumah.
“Tetapi sebuah lagi kereta milik bapa saudara saya tidak sempat diselamatkan menyebabkan ia turut musnah kerana api merebak dengan cepat,”katanya.
Menurut jurucakap bomba, sebuah kedai makan, bengkel motosikal dan kedai runcit terbakar sepenuhnya dalam kebakaran tersebut.
“Kebakaran melibatkan sederet rumah kedai 11 pintu di mana lapan daripadanya terbakar sepenuhnya dan tiga lagi berjaya diselamatkan,” katanya.
Seramai lapan anggota dari Balai Bomba Siburan bergegas ke tempat kejadian dengan diketuai Pegawai Bomba Mat Undek.
“Kami menerima laporan berhubung kejadian pada jam 9.19 dan jentera sampai ke tempat kejadian beberapa minit selepas itu, di mana operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.48 pagi,” kata jurucakap bomba berkenaan.
Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan.
“Siasatan awal mendapati api bermula dari bahagian tengah deretan kedai, di mana menurut maklumat awam dipercayai dari bengkel motosikal berkenaan sebelum ia merebak dengan cepat memusnahkan deretan kedai.
“Bagaimanapun, siasatan terperinci masih dijalankan oleh Unit Forensik Kebakaran dan punca serta anggaran kerugian belum dapat dipastikan,” katanya.
