KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Sarawak sentiasa memantau harga barang di negeri ini agar peniaga tidak mengambil kesempatan khasnya pada musim pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Pengarahnya Stanley Tan berkata, sekiranya terdapat peniaga menaikkan harga barang, pengguna diminta melaporkan perkara itu kepada KPDNKK untuk tindakan.
“Setakat ini kami tidak menerima laporan daripada pengguna mengenai kenaikan harga barang selepas bantuan BR1M diagihkan sejak Khamis lalu.
“Namun, kami sentiasa memantau perkara ini untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan semasa pengagihan bantuan ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Stanley menegaskan adalah tidak wajar bagi peniaga menaikkan harga barang kerana BR1M diberikan kepada golongan berpendapatan rendah.
“Hasrat kerajaan adalah membantu golongan rendah, sekiranya peniaga menaikkan harga maka hasrat kerajaan tidak dapat dicapai,” tambahnya.
Justeru, beliau menggesa pengguna melaporkan kepada KPDNKK sekiranya mendapati ada pengguna menaikkan harga barang.
“Kalau ada laporan kami akan turun memeriksa peniaga itu sekiranya betul tindakan akan diambil,” ujarnya.
BR1M 3.0 mula diagihkan sejak Khamis lalu kepada penerima di seluruh negara secara berperingkat.