Warga emas, kanak-kanak diminta elak terdedah dalam cuaca panas

0

BANTUAN RAKYAT: Hilmi (dua kanan) menyerahkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada warga emas Che Buang Mat, 79, (kiri) selepas melancarkan bantuan itu di peringkat Parlimen Balik Pulau di Balik Pulau, semalam. — Gambar Bernama

BALIK PULAU: Rakyat di negara ini terutama golongan warga emas dan kanak-kanak disaran mengelak daripada terdedah terlalu lama dalam cuaca panas bagi mengelak risiko serangan ‘strok haba’.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata aktiviti bersukan dan rekreasi di luar kawasan rumah pada musim kemarau turut dilihat sebagai fenomena tidak sihat dan patut dikurangkan sementara waktu sehingga cuaca kering berakhir dijangka April ini.

“Keadaan itu berlaku antaranya disebabkan panas matahari yang menyerap cairan daripada badan mengakibatkan seseorang itu mengalami dehidrasi, kerana itu kita minta orang ramai tidak terlalu lama terdedah di luar sehingga cuaca panas ini berakhir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) peringkat Parlimen Balik Pulau kepada 500 penerima, di sini semalam.

Hilmi turut menasihati orang ramai tidak membeli air di tepi jalan sebaliknya minum air masak atau air mineral yang dibotolkan dengan kadar secukupnya bagi mengimbangkan kehilangan cecair dalam tubuh.

Katanya saranan itu dibuat berikutan kekeringan sumber air pada musim panas boleh meningkatkan risiko penyakit berjangkit bawaan air seperti demam kepialu.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta kerjasama kerajaan negeri membantu mempercepatkan kerja membina semula benteng Sungai Telok Awak dan Sungai Teluk Bahang di sini yang runtuh akibat banjir tahun lepas.

“Itu keperluan segera membaiki tebing sungai yang runtuh akibat hakisan tanah dan kita harap kerajaan negeri menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran dapat bina tebatan banjir itu,” katanya.

Hilmi, yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata pihaknya telah meminta bantuan dari Kerajaan Persekutuan termasuk untuk kerja melebar sungai sebagai persediaan menghadapi banjir yang disasar siap sebelum akhir tahun ini. — Bernama