KOTAS bukti keunggulan

0

TAHNIAH: Larry menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pada kejohanan renang di Kolam Renang Bukit Lima, Sibu berakhir.

Pecah 12 rekod lama kejohanan Renang Peringkat Umur Sarawak Ke-41

SIBU: Sebanyak 19 rekod berjaya dileburkan pada kejohanan Renang Peringkat Umur Sarawak Ke-41 yang berakhir di Kolam Renang Bukit Lima di sini kelmarin.

Daripada jumlah itu, 12 daripadanya dipecahkan oleh perenang Persatuan Tenang Amatur Kota Samarahan (KOTAS) manakala tujuh lagi berjaya dipecahkan perenang dari Persatuan Renang Amatur Sibu (SASA).

Perenang KOTAS, Welson Sim memadamkan enam rekod lama bagi kategori lelaki A untuk acara 1,500 meter gaya bebas, 100m gaya bebas, 400m gaya bebas, 200m gaya bebas, 50m kuak lentang dan 50m gaya bebas.

Tan Ting juga perenang KOTAS turut mencatatkan rekod baharu bagi acara 800 meter gaya bebas untuk kategori wanita B dan 50m acara kuak lentang.

Seorang lagi perenang KOTAS, Angela Chieng berjaya memecahkan dua rekod wanita A iaitu acara 400m gaya bebas wanita A dan 800m gaya bebas juga kategori A.

Perenang SASA, Nee Gui Ping pula memecahkan rekod lama bagi acara 50m dan 100m kuak kupu-kupu untuk kategori lelaki B.

Alex Tiong juga dari SASA memadamkan rekod lama dalam acara 100m dan 200m kuak lentang lelaki A serta 400m lelaki A renang berganti- ganti.

Perenang KOTAS turut mencatatkan rekod baharu bagi acara 4x100m gaya bebas wanita dan 4x100m medley wanita A.

Sementara itu, dua lagi rekod dipecahkan perenang SASA ialah 4x100m gaya bebas lelaki A.

Anugerah Perenang Terbaik berdasarkan kategori diberikan kepada Vernon Lee dari KOTAS untuk kategori lelaki senior, Welson Sim dari KOTAS bagi lelaki A, Nee Gui Ping (SASA) untuk lelaki B, Zachary Tan Persatuan Renang Amatur Kuching (KASA) lelaki C dan Hii Puong Wei (KOTAS) kategori lelaki D.

Bagi kategori wanita pula, anugerah perenang terbaik dimenangi Nita Wong dari SASA bagi kategori wanita senior, Angela Chieng (KOTAS) kategori wanita A, Tan Tying juga dari KOTAS kategori wanita B.

Mandy Teo yang mewakili KASA juara bagi kategori wanita C, dan Natasha Teo (KASA) juara kategori wanita D.

Hadiah pemenang disampaikan oleh Presiden Persatuan Renang Amatur Sarawak (ASAS), Larry Sng.