Pengadil perlu peka perubahan semasa

0

PENGADIL: Empat pengadil yang sering mengadili perlawanan bola sepak tempatan di Bintulu.

BINTULU: Beberapa program kursus berkaitan pengadilan bola sepak dianjurkan di bahagian ini merupakan usaha untuk meningkatkan mutu pengadilan dan pembangunan bola sepak di samping melahirkan lebih ramai pengadil baharu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA), Duke Janteng berkata pengadilan yang baik dalam sesuatu perlawanan bukan sahaja membantu meningkatkan pembangunan bola sepak di peringkat tempatan malah di peringkat antarabangsa.

“Justeru, pengadil perlu peka dengan perubahan semasa, sekali gus sentiasa bersedia menjadi pengadil dalam sesuatu perlawanan,” katanya pada majlis penutupan Kursus Pengadil Bola Sepak Kelas 3, Futsal dan Match Inspector Peringkat Negeri Sarawak anjuran BiFA di sini.

Katanya, kursus berkaitan merupakan usaha menambah bilangan pengadil-pengadil baharu sekali gus meningkatkan ilmu kepada pengadil-pengadil yang sedia ada.

Kursus itu berlangsung pada 17 hingga 21 Februari lalu disertai oleh 20 peserta dari Miri, Limbang, Bintulu dan Sabah.

Peserta didedahkan ilmu teori, latihan praktikal, kecergasan dan ujian bertulis dalam aspek pengadilan dikendalikan oleh Pegawai Pembangunan Pengadil Negeri Sarawak, Marsid Dahalan dan bekas pengadil kebangsaan, Teo Bee Hock.