Guna wang BR1M dengan sebaiknya

0

TIBA: Gramong (tengah) serta rombongan tiba ketika menghadiri perasmian jalan baharu Rumah Alexander, Nanga Majau di Kanowit, Ahad lalu.

KANOWIT: Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 diingatkan supaya menggunakan wang bantuan itu untuk tujuan berfaedah serta tidak membazirkannya.

Menteri Muda Pelancongan (Acara & Produk) Datuk Gramong Juna berkata, BR1M itu adalah salah satu cara kerajaan untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

“Oleh itu, guna wang BR1M dengan berjimat cermat, seboleh-bolehnya belanjakan untuk tujuan berfaedah yang dapat meningkatkan taraf hidup kita.

“Jangan menggunakan bantuan itu untuk tujuan yang tidak baik dan membazir,” katanya ketika merasmikan Jalan Baharu Rumah Alexander Lutang Baginda di Nanga Majau di sini, Ahad lalu.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Maurice Giri, Timbalan Walikota Majlis Daerah Kapit Tapah Ata, Pemanca Spencer Kudang, Penghulu Lawrence Melaka dan Pegawai Penerangan Daerah Kanowit Wan Mohd Zuki Wan Ismail.

Gramong yang juga Menteri Muda Kemajuan Tanah turut menasihati mereka yang gagal permohonan mendapatkan BR1M supaya tidak berpaling tadah serta membenci kerajaan kerana disebabkan kecewa.

Beliau berkata, BR1M bukan satu-satunya bantuan kerajaan untuk meringankan beban rakyat akibat kos sara hidup meningkat.

“Terdapat banyak program lain yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk menangani isu-isu melibatkan rakyat.

“Selain itu, kerajaan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan rakyat,” tegasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan itu memberitahu, mereka yang layak tetapi gagal permohonan mendapatkan BR1M boleh membuat rayuan atau memohon semula bantuan itu.

Dalam perkembangan lain, Gramong berharap rakyat di kawasannya bersabar menunggu bekalan air paip disalurkan ke rumah panjang mereka.

Beliau berkata, projek itu hanya dapat dimulakan selepas pembinaan jambatan untuk menghubungkan Majau dan bandar Kanowit siap kelak.

“Justeru, perlu ada usaha bersama dan persefahaman antara pihak pelaksana dan rakyat supaya dasar-dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lancar untuk kebaikan kita,” tambahnya.

Gramong kemudian mengumumkan peruntukan dalam bentuk projek kipas siling untuk Rumah Alexander Lutang.