Jangan salah guna wang BR1M: Ahmad Lai

0

APA KHABAR?: Ahmad Lai (kanan) bersalaman dengan penerima BR1M di kawasan Parlimen Sibuti ketika tinjauannya di Gelanggang Bola Keranjang Bekenu semalam.

MIRI: Rakyat diminta tidak menyalahgunakan wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) daripada kerajaan dengan perbelanjaan yang tidak diperlukan.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, berkata sebaliknya wang tersebut harus digunakan dengan mendahulukan perbelanjaan keperluan rumah dan anak-anak.

“Janganlah guna wang BR1M untuk berbelanja dengan barang yang tidak diperlukan, harus utamakan keluarga dan anak-anak,” katanya ketika meninjau pengagihan BR1M 3.0 bagi kawasan Parlimen Sibuti di Dewan Masyarakat Bekenu dan Gelanggang Bola Keranjang Bekenu semalam.

Menurutnya, tujuan wang tersebut adalah untuk menampung perbelanjaan keperluan harian terutama penduduk di kawasan luar bandar seperti Sibuti dan sebagainya.

Mengenai proses pengagihan, secara keseluruhannya beliau memberitahu bahawa ia berjalan lancar dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Kaunter bayaran dibuka tidak kurang daripada tujuh buah bagi orang ramai menuntut baucar wang BR1M,” jelasnya.

Sebelumnya, Ahmad Lai sempat bersalaman dengan penerima wang bantuan berkenaan ketika mengadakan tinjauan itu.

Bagi Sibuti, keseluruhannya seramai 17,440 penerima BR1M dengan seramai 12,848 orang menerima RM650, 607 menerima RM450 dan 3,985 menerima RM300.

Hari ini (26 Februari) merupakan tarikh akhir jadual pengagihan BR1M di Dewan Masyarakat Bekenu dan Gelanggang Bola Keranjang Bekenu.

Manakala esok (27 Februari) jadual pengagihan BR1M diteruskan di Dewan Masyarakat Batu Niah bermula jam 8 pagi hingga 4 petang.

Seterusnya, pada 4 Mac pengagihan BR1M bagi Sibuti bakal diteruskan di Stadium Tertutup Miri pada masa yang sama.