55 PTI ditahan di Tuaran

0

TUARAN: Seramai 55 orang termasuk 22 kanak-kanak pendatang tanpa izin (PTI) ditahan dalam serbuan yang dilaksanakan polis daerah ini kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintenden Abdul Fuad Abd Malek, kesemua PTI yang berusia 8 hingga 50 tahun itu ditangkap dalam beberapa serbuan berasingan di seluruh kawasan daerah berkenaan.

“Kita melaksanakan operasi dan serbuan di sekitar daerah Tuaran bagi membasmi kebanjiran PTI sejak beberapa hari yang lepas.

“Seramai 55 individu termasuklah 22 kanak-kanak berjaya ditahan bagi tindakan lanjut,” katanya di sini.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Fuad berkata pihaknya menafikan khabar angin berlakunya insiden rompakan membabitkan seorang guru seperti mana digembar-gemburkan di laman sosial Facebook kelmarin.

Menurutnya, dakwaan yang mengatakan mengatakan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran menerima satu laporan berhubung terdapat aktiviti rompakan yang kononnya berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli sama sekali tidak benar dan hanya direka-reka oleh individu tertentu bagi menakut-nakutkan orang ramai.

Penyebaran berhubung insiden berkenaan di Facebook tempoh hari itu mendakwa berlaku kegiatan samun bersenjata di daerah Sipitang sebelum terjadi satu lagi kejadian sama di Tuaran.

Turut tertera, beberapa keping gambar memaparkan individu yang kononnya bertanggungjawab melakukan aktiviti samun terbabit.

“Kita tidak menerima sebarang laporan daripada mangsa atau individu berhubung kejadian itu.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan orang ramai terutamanya penduduk Tuaran agar tidak mempercayai khabar angin sedemikian kerana tiada insiden sebegitu terjadi di sini,” katanya.