Berhati-hati ketika lakukan pembakaran terbuka

0

SIBU: Penduduk kampung dan rumah panjang perlu lebih berhati-hati ketika ingin melakukan pembakaran terbuka di kawasan kebun atau sawah padi bagi mengelak api merebak ke kawasan lain, sekali gus menjadi kebakaran besar.

Penghulu James Semilan berkata, penduduk yang hendak melakukan pembakaran tidak seharusnya bersikap cuai lebih-lebih lagi ketika musim panas dan kering yang melanda ketika ini.

“Sekiranya dapat, jangan lakukan pembakaran secara terbuka semasa cuaca panas dan kering ketika ini.

“Kita harus mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” ujarnya kepada pemberita semalam.

Menurut James, penduduk boleh melakukan pembakaran sekiranya benar-benar perlu terutama bagi membersihkan kawasan kebun atau sawah padi.

Namun katanya, mereka harus mengambil langkah berjaga-jaga agar api tidak merebak ke kawasan atau tanah milik orang lain serta menyebabkan kebakaran besar.

“Kita harus ingat apabila api merebak ke kawasan atau tanah orang lain, mereka yang bertanggungjawab boleh dikenakan hukuman atau denda,” jelasnya.

Dengan keadaan cuaca yang panas dan kering ujar beliau, api boleh merebak dengan amat cepat, lebih-lebih lagi apabila adanya angin yang bertiup.

Oleh itu James menasihati penduduk agar bergotong-royong apabila hendak melakukan pembakaran supaya mudah bagi mereka mengawal api.

“Setelah selesai, pastikan api telah padam sepenuhnya. Begitu juga dengan bara api,” katanya sambil menyatakan bahawa penduduk juga perlu berhati-hati dalam menjaga keselamatan rumah panjang mereka.

Sementara itu, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di bandar Sibu mencatat bacaan sederhana iaitu 51 pada jam 2 petang semalam.

Bacaan IPU di Bintulu turut berada pada tahap sederhana iaitu 54. IPU di bandar-bandar lain di Sarawak berada pada paras yang baik iaitu kurang daripada 50.