Adenan angkat sumpah KM

0

Majlis penuh istiadat berlangsung selepas terima surat lantikan daripada TYT

KUCHING: Berbaju Melayu berwarna gelap, Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem kelihatan tenang dan ceria ketika mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin.

Tercatat dalam buku sejarah Sarawak semalam apabila Adenan, 70, sah menjadi Ketua Menteri Sarawak yang kelima selepas menerima surat lantikan daripada Tun Salahuddin pada majlis penuh istiadat di Astana Negeri pada kira-kira jam 9.40 pagi.

Ketua Menteri Sarawak kelima itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, menggantikan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang bersara selepas menjadi Ketua Menteri selama 33 tahun.

Hadir sama, isteri yang di-Pertua Negeri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah, isteri Ketua Menteri Puan Sri Jamilah Anu, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, barisan kabinet negeri dan persekutuan, ketua-ketua jabatan dan para ADUN.

Sejurus selesai upacara angkat sumpah, Adenan memberi peluang kepada hadirin untuk mengucap tahniah dan bergambar bersamanya dan Jamilah.

Adenan memulakan kerjaya politiknya pada tahun 1979 apabila beliau bertanding bagi kerusi DUN Muara Tuang pada satu Pilihan Raya Kecil dan mengalahkan calon daripada Parti Rakyat Jati Sarawak (PAJAR) Razali Sabang dengan majoriti 2,797 undi.

Beliau mengekalkan kerusi DUN Muara Tuang dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) berikutnya sebelum bertanding pada Pilihan Raya Parlimen Ke-11 bagi kerusi Batang Sadong dan mengetepikan Adam Ahid daripada PAS dengan majoriti 9,371 undi.

Berikutan kemenangannya dalam pilihan raya itu, Adenan dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar di peringkat persekutuan pada tahun 2004 sebelum kembali ke arena politik Sarawak untuk bertanding pada PRN 2006 dan memenangi kerusi DUN Tanjung Datu.

Beliau dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Ketua Menteri pada tahun 2010, diikuti dengan  pelantikan sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas Sarawak pada 2011 setelah berjaya mengekalkan kerusi DUN Tanjung Datu pada PRN tahun berkenaan.

Tugas besar Adenan selepas mengambil alih pucuk pimpinan negeri ialah Pilihan Raya Kecil DUN Balingian yang kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Taib berkuat kuasa semalam.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Adenan merupakan pilihan terbaik menggantikan Taib.

Ditemui di Astana Negeri, beliau mengakui bukan mudah untuk mencari pengganti Taib namun ciri-ciri yang dicari ada pada Adenan.

“Melihat kepada pengalaman yang dimiliki beliau (Adenan), komitmen serta semangat untuk bekerjasama dengan semua pasukan saya rasa segalanya akan berjalan dengan lancar.

“Malah kami amat optimis bahawa masa depan Sarawak akan sebaik seperti yang telah dicapai di bawah pimpinan Taib,” ujarnya.

Ditanya mengenai masa depan parti, Awang Tengah turut yakin Adenan yang akan mengambil alih pucuk pimpinan parti mampu memperkukuhkan parti dan mengekalkan perpaduan.

“Kami mempunyai budaya dalam parti yang terus dikekalkan bahawa kami akan mengutamakan kepentingan parti yang membolehkan kami terus bersatu meskipun berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran.

“Malah saya tidak berkecil (hati) tidak dipilih sebagai Ketua Menteri kerana bagi saya beliau (Adenan) merupakan pilihan terbaik.

“Keutamaan saya ialah kepentingan parti dan rakyat dan kami akan meneruskan kestabilan politik kerana dengan adanya kestabilan politik maka kita dapat melaksanakan apa jua polisi yang baik kepada rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai pelantikan bapanya sebagai Ketua Menteri baharu, Abdul Aziz Adenan berkata mereka sekeluarga amat bersyukur apabila majlis itu berjalan dengan lancar.

Katanya, mereka sekeluarga sedar rakyat Sarawak amat berharap Ketua Menteri baharu berupaya menambah lagi kemajuan dikecapi hasil usaha gigih Taib.

“Sudah pasti kami sebagai ahli keluarga (Adenan) akan memberi sokongan dari semua segi,” katanya.