100 majikan seluruh negara bakal hadapi tindakan tegas

0

Gagal patuhi pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2012

KUANTAN: Sebanyak 100 majikan di seluruh negara bakal dikenakan tindakan tegas jika didapati masih gagal mematuhi pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2012.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata pihaknya menerima kira-kira 600 aduan dari pekerja sejak ia dikuatkuasakan 1 Jan 2013.

“Setakat ini kita telah bagi amaran kepada majikan yang terlibat, jika selepas ini mereka masih gagal menjalankan tanggungjawab di bawah perintah tersebut, majikan bakal berdepan tindakan tegas dari kementerian,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya Azam Kerja 1Malaysia di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas Khas Negeri, Datuk Norul Azali Sulaiman; dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Saripuddin Kasim.

Mengikut Seksyen 43 Akta Majlis Perundangan Gaji Negara 2011, mana-mana majikan yang disabit kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun.

Ismail berkata, semakan semula kadar gaji minimum itu akan dilakukan oleh kerajaan pada 2015.

Dalam pada itu beliau menyeru golongan lepasan ijazah dan penganggur merebut 1,800 peluang pekerjaan yang disediakan kira-kira 30 majikan yang menyertai karnival berkenaan.

Katanya, ada di antara majikan yang menyertai karnival itu menawarkan gaji minimum di antara RM1,000 hingga RM2,500 sebulan, mengikut kelayakan seseorang. — Bernama