Amelia wanita Sarawak pertama berceramah pada Kongres ICCA

0

KUCHING: Pengarah Komunikasi dan Pemasaran Global, Biro Konvensyen Sarawak (SCB) Amelia Roziman menjadi wanita Sarawak pertama sebagai penceramah pada Kongres ICCA yang berprestij.

Menjadi penceramah pertama pada kongres yang diadakan pada 2012 di Puerto Rico dan berkongsi pentas dengan penceramah terkenal daripada industri acara perniagaan seluruh dunia, beliau kemudian dijemput semula pada pembentangan Kongres ICCA 2013 di Shanghai untuk berceramah mengenai membuka kreativiti di tempat kerja.

Dengan pengalaman bertahun dalam bidang pemasaran destinasi kreatif di bawahnya, Amelia menjelaskan: “Kami bernasib baik kerana mempunyai pasukan yang berbakat dan mahir.

“Dengan menggunakan bakat mereka dalam forum awam akan membantu kepada keputusan perniagaan lebih baik termasuk rangkaian dan mengiktiraf peluang perniagaan selain mendedahkan bakat baharu atau tersembunyi selama ini,” katanya.

Pameran yang mempersembahkan tema berbeza setiap hari, antaranya ‘Kenyalang Rainforest Magic’ pada hari pertama dan ‘Meowing in the Cat City’ pada hari kedua.

Jemima Rinai, berbangsa Orang Ulu membuat persembahan pada hari pertama dengan mempamerkan warisan etniknya dalam persembahan tarian tradisional dan hari kedua, Regina Toyad mempersembahkan latihan menari, ‘Cat Ballerina’.

Jemima Rinai yang juga Pegawai Perhubungan Acara dan Pemasaran berkata: “Ia adalah peluang baik untuk menjadi sebahagian daripada peristiwa besar ini yang membolehkan saya menjadi lebih yakin di hadapan rakan-rakan saya dan rakan-rakan industri.”

Pengarah Urusan SCB Mike Cannon pula berkata menggunakan bakat-bakat sedemikian dalam rangkaian, promosi, tawaran perniagaan dan persembahan selain aktiviti pemasaran bukan sahaja mempamerkan ahli pasukan anda kepada orang luar tetapi membantu dari segi bajet organisasi.

“Salah satu manfaat mempunyai pasukan berbakat dalam organisasi adalah tenaga positif dalam membentuk pasukan.

“Secara keseluruhan, pasukan berasa bersemangat dan terlibat dalam kerja-kerja mereka, mengetahui bahawa organisasi mereka juga berusaha ke arah sistem sokongan lebih besar,” katanya.