FBSB muncul juara Liga Coneli Veteran

0

KAMI JUARA: Pasukan FBSB menerima wang tunai RM3,000 bersama piala selepas memenangi Liga Coneli Veteran 2013/2014 di Miri petang kelmarin.

MIRI: Pasukan FBSB muncul juara keseluruhan apabila meraih 31 mata pada saingan Liga Coneli Veteran 2013/2014 anjuran City Sport Miri yang berakhir di sini lewat petang kelmarin.

Selaku juara, FBSB membawa pulang RM3,000, piala dan medal manakala pasukan P.218 Sibuti sebagai naib juara liga menerima RM1,500 bersama piala dan medal iringan.

Dalam pertandingan itu, Rosli Awang Ali ditabalkan sebagai penjaring terbanyak manakala Marzuki Marikan diisytiharkan sebagai pemain terbaik.

Penjaga gol terbaik pula milik pasukan P.218 Sibuti, manakala Pengurus Terbaik pula disandang oleh pasukan Medical.

Semua pemenang masing-masing membawa pulang trofi.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Pegawai Penguatkuasa Majlis Sukan Negeri (MSN) Miri, Harifen Mansur.

Hadir sama penaja pertandingan, Charles Lau dan Pengerusi Penganjur Liga Coneli Veteran, Lee Jong Soon.

Lee berkata, pertandingan itu merupakan aktiviti tahunan bertujuan memartabatkan sukan bola sepak kalangan pemain berusia 40 tahun ke atas.

Sejumlah 12 pasukan berentap pada pertandingan itu dan beliau percaya pihaknya menganjurkan lebih banyak pertandingan seumpama itu tahun ini.