Jangan lepas peluang hadir saringan kesihatan percuma

0

KENANGAN: Mashore (empat kanan) bersama Yusop (tengah) dan Mas Shamsiah (empat kiri) pada majlis itu.

SRI AMAN: Rakyat terutama di kawasan Sri Aman dinasihati agar tidak melepaskan peluang menghadiri  sesi saringan kesihatan secara percuma di sini.

Pengerusi Sukarelawan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Tanjung Engkabang Mas Mashore Maslem berkata ia  penting demi membolehkan penduduk mengetahui status kesihatan masing-masing.

Menurutnya, mencegah adalah lebih baik daripada merawat dan masyarakat harus bebas daripada penyakit tidak berjangkit seperti diabetes atau darah tinggi untuk kekal sihat sepanjang masa.

“Jadi tolong hadir sekiranya ada saringan kesihatan percuma.

“Jangan pandang remeh tawaran terbabit kerana mungkin ia dapat menyelamatkan nyawa kita,” katanya pada Ceramah Kesihatan Tekanan Darah Tinggi dan Diabetes di Dewan Serba Guna Kampung Hilir, di sini kelmarin.

Ceramah itu dianjurkan NCD Tanjung Engkabang Sri Aman dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

Yusop Suhaili daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman menyampaikan ceramah mengenai penyakit itu kepada peserta.

Mashore berkata, masyarakat juga disyorkan supaya rajin mempelajari maklumat-maklumat mengenai penyakit tidak berjangkit (NCD) agar dapat mencegahnya.

Hadir sama Penolong Pegawai Perpaduan dan Integrasi Nasional Sri Aman Latipah Agong, Pemanca Mas Shamsiah Maslem dan penduduk Kampung Hilir, Sri Aman.