Penduduk gotong-royong baiki rumah warga emas

0

BAIK PULIH: Penduduk kampung bergotong-royong membaiki kediaman Jehok yang daif.

Bantu baiki, bersih persekitaran kediaman Jehok Dai-a, 90

BAU: Simpati dengan kedaifan kediaman seorang penduduk warga emas di Kampung Rumih, Jalan Opar di sini, seramai 70 penduduk kampung mengambil inisiatif mengadakan gotong-royong membaik pulih rumah warga emas tersebut.

Disebabkan keadaannya yang agak uzur, Jehok Dai-a, 90, reda dengan kedaifan yang terpaksa ditanggungnya dan mujurlah penduduk kampung tampil menghulurkan bantuan membaiki dan membersihkan persekitaran kediamannya.

Menurut Ketua Kaum Kampung Rumih Nyoeb Rinoi, 59, aktiviti bergotong-royong telah sebati dalam kalangan penduduk kampung berkenaan.

Apabila aktiviti gotong-royong diadakan, penduduk katanya akan keluar beramai-ramai menggembleng tenaga membersihkan persekitaran kampung termasuk menyelenggara sistem paip air graviti sepanjang tahun.

Kini katanya, aktiviti gotong-royong mula menekankan kerja amal membaik pulih rumah penduduk dan antara yang mendapat perhatian kali ini ialah rumah milik warga emas Jehok.

“Kami telah memasang dinding rumah, membaiki bilik mandi serta memasang semula tandas curah di kediaman Jehok agar lebih selesa berbanding keadaan sebelumnya yang agak uzur,” kata Nyoeb.

Sementara itu, Setiausaha Kampung Rumih Lee Kasing, 43, berkata banyak pembangunan telah dinikmati penduduk termasuk kemudahan dewan masyarakat dan gereja yang lebih besar dan selesa.

Jalan kampung katanya juga telah berturap, selain kemudahan bekalan air bersih yang dirawat dan kemudahan elektrik.

Bagaimanapun katanya, penduduk kampung di bawah DUN Opar ini masih mengharapkan kerajaan memasang lampu di sepanjang kampung demi keselamatan penduduk dan pengguna.