Seminar menyebarkan ilmu al-Quran kepada masyarakat

0

KHUSYUK: Peserta-peserta seminar menyertai ceramah selama dua hari di IIC.

KUCHING: Pusat Pengajian Al-Quran Tun Abdul Rahman Yakub (PATARY), Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri mengadakan Seminar Al-Quran Siri 1/2014 pada 26 dan 27 Februari lalu di PATARY.

Objektif seminar itu bertujuan menyebarkan ilmu al-Quran kepada masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam yang berminat mengetahui mengenai Islam.

Selain itu, seminar tersebut diadakan sebagai salah satu usaha mengumpulkan input-input tentang al-Quran secara keseluruhan serta dijadikan landasan tempat perkongsian ilmu dan pertukaran pendapat mengenai ilmu al-Quran.

Seramai 88 peserta menyertai seminar tersebut terdiri daripada kakitangan agensi kerajaan dan swasta, agensi Islam, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, masjid-masjid dan surau-surau serta orang perseorangan.

Antara agensi-agensi yang menyertai seminar tersebut ialah Pusat Penerangan Islam (IIC), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar, Lembaga Pelabuhan Kuching, Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Urus Setia Cawangan Sarawak dan Kementerian Pertahanan.

Dengan bayaran yuran penyertaan sebanyak RM50 seorang, para peserta turut disediakan makanan dan minuman serta modul sepanjang seminar berlangsung.

Pembentang kertas kerja sepanjang seminar TERMASUK Profesor Dr Abdul Latif Samian (UKM), Dr Mohd Sukki Othman (UPM), Profesor Dr Aminah Abdullah (UKM), Ustaz Hanafiah Abdul Razak (Jabatan Mufti Johor) dan Dr Hazman Seli (UiTM, Kota Samarahan).

Sementara itu, antara tajuk kertas kerja dibentangkan pada seminar itu ialah ‘Ilmu Matematik Menurut Islam’, ‘Pemakanan Menurut Perspektif Sains dan Al-Quran’, ‘Al-Quran Teras Kepada Ilmu Falak Sejagat’ dan ‘Pengkisahan Tanah Liat dalam Al-Quran dan Bukti Saintifik’.