Agensi berita, penyiaran KKMM perlu pantas sebar maklumat

0

WAWANCARA: Abdul Rahim (kanan) ditemu bual oleh penyampai Radio BERNAMA 24, Suhada Armawan (dua kiri) dan Ziana Nasir (kiri) ketika menjadi tetamu khas program radio berkenaan selepas melakukan lawatan ke Wisma Bernama di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Agensi berita dan penyiaran di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) perlu lebih pantas dan cekap menyebarkan maklumat untuk kekal relevan sebagai sumber utama maklumat terutama daripada kerajaan.

Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Abdul Rahim Mohd Radzi berkata sebagai pembawa suara kerajaan, agensi seperti RTM dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) perlu bergerak seiring dengan kepesatan teknologi maklumat termasuk media sosial yang dilihat lebih menjadi pilihan pengguna sebagai sumber utama maklumat mereka.

“Apa yang penting bagi KKMM atau Bernama itu sendiri adalah untuk pastikan kita sentiasa relevan, ‘current’ dan ‘real-time’ (dalam menyebarkan sesuatu maklumat).

“Dengan anjakan ini, kita lihat pada suatu hari nanti apabila rakyat ingin maklumat yang rasmi mereka pasti akan memilih siaran kita,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Wisma Bernama semalam.

Dalam masa sama, Abdul Rahim mengingatkan pengguna Internet dan media sosial supaya bijak menilai maklumat dan menafsir fakta yang diperoleh bagi memastikan perkara itu benar-benar sahih.

Katanya media sosial harus berperanan membawa kebaikan, bukannya dieksploitasi sehingga menjadi alat yang boleh memecah-belah dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Lawatan sulung Abdul Rahim ke Bernama itu turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha I KKMM Datuk Mohid Mohamed dan beberapa pegawai kanan KKMM.

Terdahulu, Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong menyampaikan taklimat mengenai operasi Bernama kepada Abdul Rahim, diikuti lawatan ke bilik berita Jabatan Pengarang, Radio24 Bernama dan BernamaTV. — Bernama