Kehidupan penduduk lebih teratur dengan pelan catuan air

0

KUALA LUMPUR: “Syukur”. Itulah ungkapan beberapa penduduk di Kajang dan Balakong dekat sini yang kembali menikmati bekalan air bersih setelah hampir sebulan mengalami krisis ketiadaan air.

Walaupun krisis belum berakhir, pelaksanaan program catuan air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) memberi seribu kelegaan kepada penduduk, terutama mereka yang mempunyai anak kecil, warga emas dan peniaga.

“Lebih baik sekejap ada (air), sekejap tiada daripada berterusan tiada. Sekurang-kurangnya kami boleh simpan air dan mandi di rumah sendiri, bukannya bersusah sehingga terpaksa ke masjid atau stesen minyak terdekat,” kata Norma Mohamad, 29, seorang pekerja swasta kepada Bernama.

Ibu dua anak itu berkata rumahnya di Taman Impian Ehsan memperoleh bekalan air dua hari lalu yang membolehkannya menyimpan air untuk kegunaan dua anak kecilnya.

“Anak-anak masih kecil memang perlukan banyak air…dan air yang ada bolehlah disimpan untuk keperluan penting seperti mandi dan membasuh,” katanya yang memilih makan di luar bagi menjimatkan air.

Seorang guru dari Taman Tun Hussein Onn, Cheras, Rashidah Abdul Rahim, 55, pula berkata beliau terpaksa menumpang sementara di rumah adiknya sepanjang ketiadaan berkalan air.

“Memang susah nak jalankan aktiviti harian, nak solat…hendak tak hendak memang kena menumpang di rumah saudara.

“Tapi mujurlah Jumaat lepas bekalan air dah ada semula…walaupun secara bergilir-gilir, tak mengapalah…terima kasih kepada Syabas,” katanya.

Pemilik Kedai Dobi Koong Tou, Lee Chai Lian, 35, berkata kedainya di Taming Jaya, Balakong baru sahaja ketiadaan bekalan air semalam.

“Selama ini kawasan kedai saya ada air, tapi hari ini (semalam) tidak ada, mungkin sebab SYABAS sudah buat catuan air. Tapi tak ada masalah kerana SYABAS beri notis dalam media dan kita boleh simpan air awal-awal,” katanya yang meneruskan perniagaan seperti biasa.

SYABAS sebelum ini berkata pelaksanaan pelan catuan bekalan air bermula 2 hingga 31 Mac di Kuala Lumpur, Gombak, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor dibuat berdasarkan konsep bergilir-gilir iaitu dua hari mendapat air dan dua hari tiada bekalan.

Sementara itu, Balasegar Suppiah, 41, penduduk di Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak, berkata beliau sedar kekurangan air berpunca daripada faktor cuaca dan SYABAS perlu memenuhi keperluan semua penggunanya.

“Jadi langkah catuan ini memberi peluang sama rata kepada semua untuk mendapat bekalan air,” katanya.

Penolong Pegawai Perubatan Kanan di Klinik 1Malaysia PPR Desa Rajang, Mohd Johan Musa berkata pihaknya mendapatkan air daripada pili bomba berhampiran untuk kegunaan di tandas manakala air yang dibekalkan Kementerian Kesihatan diguana untuk merawat pesakit.

Bagi pesara kerajaan Rosli Mansur, 63, selain menyimpan air paip, beliau turut mengambil langkah awal dengan membeli air yang dibotolkan. — Bernama