Kepimpinan PBB buat aku janji sokong Adenan

0

PERTEMUAN KHAS: Adenan bertemu kepimpinan PBB dalam pertemuan khas. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Barisan kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) semalam membuat aku janji sebagai tanda sokongan kepada Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem selaku Ketua Menteri dan presiden parti.

Upacara bacaan ikrar aku janji itu diketuai Timbalan Ketua Menteri yang juga Timbalan Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Pada perjumpaan itu menurut Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol, Adenan berazam untuk meneruskan perjuangan dan agenda pembangunan yang dilakar Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

“Beliau (Adenan) berjanji untuk terus bekerja berdasarkan agenda yang telah disediakan Taib terutama dalam meneruskan pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan modal insan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pertemuan khas Ahli Majlis Kerja Tertinggi PBB bersama Ketua Menteri di sini, semalam.

Menurutnya, Ketua Menteri turut memberi penekanan kepada pelan pengukuhan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dan kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK) Balingian.

“Mungkin buat sementara waktu tumpuan utama (Adenan) adalah untuk memperkukuhkan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dan kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK) Balingian,” ujarnya.

Abdullah menjelaskan, cara kerja setiausaha politik Ketua Menteri mungkin akan dikemas kini untuk lebih efektif dalam menghadapi PRN akan datang.

“Beliau (Adenan) mengakui dari segi cara kerja setiausaha politik mungkin akan dikemaskini agar lebih efektif,” jelasnya.

Sebagai Ahli Dewan Unda-ngan Negeri (ADUN) Semop, beliau berharap agar lebih banyak pembangunan dapat dilaksana terutama di kawasan luar bandar.

“Bagi saya, warga Semop akan beri sokongan penuh kepada Ketua Menteri dan pada masa sama kami berharap lebih banyak program pembangunan dapat dilaksanakan di kawasan pedalaman,” kata Abdullah.

Sejurus selepas pertemuan khas bersama PBB, Adenan bertemu kepimpinan Parti Rakyat Sarawak (PRS) diketuai Presidennya Tan Sri Datuk Amar James Ma-sing.

Seterusnya Adenan akan bertemu kepimpinan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) hari ini dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) pada 6 Mac.