MSSR Bintulu: Zon Kemena sasarkan 12 pingat emas

0

BERSEMANGAT: Khaidir (dua kiri) menyerahkan bendera kontinjen Zon Kemena kepada Ketua Kontinjen MSSR Zon Kemena, Mordiana Amir di Bintulu semalam.

BINTULU: Zon Kemena mensasarkan 12 pingat emas dalam Acara Padang dan Balapan Majlis Sukan Sekolah Rendah (MSSR) Bintulu 2014 di Stadium Bintulu pada 4 dan 5 Mac ini.

Pengurus pasukannya, Mohd Khaidir Arebi berkata kejohanan dianjurkan Zon Kidurong melibatkan seramai 71 orang atlet dari 13 buah sekolah di kawasan Kemena bakal mengambil bahagian dalam enam acara padang dan enam acara balapan.

“Penyertaan kontinjen kami tahun ini merupakan antara teramai dari tahuntahun sebelumnya dan Zon Kemena mensasarkan 12 pingat emas dalam acara dipertandingkan nanti,” katanya ditemui di padang trek Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Siong Boon di sini pagi semalam.

Jelasnya, dengan kekuatan sedia ada di samping persediaan yang cukup mantap para atlet terlibat, Khaidir berkeyakinan Zon Kemena mampu memperoleh pencapaian cemerlang mengatasi tiga zon lain iaitu Zon Kidurong, Tatau dan Sebauh.

Dengan berbekalkan motto ‘Kemena Perkasa’, beliau yakin lebih ramai atlet dilahirkan dari kawasan Kemena sekali gus mengharumkan nama zon berkenaan.

“Apa yang penting ialah semangat kesukanan tinggi di samping mampu bersaing serta berkongsi kemahiran dalam sukan antara satu sama lain,” katanya.