Perdamaian SPDP selesai tidak lama lagi

0

MAWAN

NANSIAN

Masalah dihadapi akan diselesai bagi kukuh SPDP khasnya, perpaduan dalam BN

KUCHING: Proses perdamaian melibatkan Kumpulan 5 (G5) Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang turut menggelar diri mereka sebagai ahli Kelab Barisan Nasional (BN) Sarawak dijangka selesai dalam masa terdekat.

Perkara itu ditegaskan Presidennya Tan Sri William Mawan Ikom yang memberitahu bahawa masalah dihadapi parti itu akan di-selesaikan bagi mengukuhkan SPDP khasnya dan perpaduan dalam komponen BN.

G5 dibarisi Datuk Peter Nansian Ngusie, Datuk Sylvester Entri Muran, Rosey Yunus, Paulus Palu Gumbang dan Datuk Dr Tiki Lafe.

“Setiap daripada kita termasuk parti komponen meng-utamakan kepentingan parti iaitu nombor satu berbanding kepentingan individu.

“Kami menyambut baik antara satu sama lain, kami sudah mencapai satu kata sepakat, kamu (media) akan dimaklumkan tentang perkara ini secara rasmi dalam masa terdekat nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah Menteri-menteri Kabinet Negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu di sini semalam.

“Tiada tempoh masa ditetapkan, cepat lebih baik, kami adalah tumpuan ramai… isu politik merupakan tumpuan awam,” tambahnya.

Ditanya mengenai iklan yang dibuat oleh G5 yang masih menggunakan nama Kelab BN Sarawak, Mawan berkata ia tidak menjadi masalah kepadanya kerana mereka telah menggunakannya dalam tempoh tertentu dan menunjukkan kesetiaan serta sokongan padu mereka kepada BN.

“Apa yang penting ialah langkah mereka selepas ini, jika itu dalam semangat kerja-sama seperti kembali semula ke parti, kita menyediakan ruang untuk perdamaian bagi kita bersatu, itu adalah perkara penting,” katanya.

Pada masa sama, Mawan enggan mengimbau kisah silam yang terjadi dalam parti itu kerana beliau mahu SPDP terus melangkah ke hadapan dengan kekuatan padu untuk BN negeri.

“Langkah kami seterusnya adalah untuk bersatu kembali dalam parti dengan parti yang kukuh dan kami tidak mahu ia terjadi kembali kerana hanya ada satu SPDP dan BN,” tegasnya.

Sementara itu, Nansian yang juga Menteri Muda Pembangunan Perindustrian dan Menteri Muda Pembangunan Masyarakat ketika ditemui semalam berkata, beliau dan empat rakan lain gembira kerana Mawan membuka ruang untuk mereka kembali sebagai ahli SPDP.

“Mawan bersetuju untuk mengambil semula kami kembali ke parti, kami amat gembira (dengan keputusan itu)… kami akan melihat bagaimana mekanisme yang perlu diambil untuk kembali semula, semuanya dijangka selesai dalam masa terdekat,” ujarnya.