Persatuan bola sepak berperanan besar

0

MALAM AMAL: Wan Ibrahim (kiri), Nor Azam, Tuah, Duke, Victor dan Mohd Zaifufadillah memotong pulut kuning sempena Makan Malam Amal dan Anugerah BiFA 2013 di Bintulu malam kelmarin.

BINTULU: Persatuan-persatuan bola sepak di negeri ini mampu menyumbang kepada masyarakat setempat bukan sahaja dari segi pembangunan bola sepak bahkan pembangunan sumber manusia.

Setiausaha Politik Ketua Menteri, Victor Temenggung Anggang berkat a persatuan bola sepak berperanan besar dalam pembangunan masyarakat tidak hanya mempromos ikan sukan bola sepak tetapi mendidik sumber manusia dedikasi, sabar, disiplin, toleransi serta percaya antara satu sama lain.

“Kerjasama, kepercayaan dan saling bantu-membantu akan menentukan kejayaan seseorang serta sesebuah pasukan,” katanya pada Majlis Makan Malam Amal dan Anugerah BiFA 2013 di sini malam kelmarin.

Beliau menambah, peranan Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA) amat berguna membantu pembangunan sosial di sini.

Presiden BiFA, Duke Janteng berkata pihaknya berusaha untuk melahirkan lebih ramai pemain berbakat dalam bola sepak bukan sahaja untuk Bintulu malah di peringkat negeri, negara dan sehingga ke antarabangsa.

Begitupun, pihaknya tidak lupa menyumbang melalui program tanggungjawab sosial membantu golongan memerlukan termasuk memberi penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam pembangunan bola sepak di sini.

Justeru, beliau berharap mereka yang menerima anugerah dan penghargaan akan dapat terus membantu memperkasa dan berdaya saing serta terus bersemangat dalam pembangunan sukan bola sepak di bahagian ini.

Pada majlis itu, BiFA menerima tajaan berjumlah RM20,000 untuk Liga Petronas Edisi Ke-20 daripada Petronas yang disampaikan Timbalan Pengurus Besar Petronas Wilayah Sarawak, Nor Azam Abang Zawawie termasuk menerima tajaan daripada Lea Sports Centre.

Turut hadir Pegawai Daerah Bintulu, Tuah Suni dan Pengurus Kanan Seksyen Alam Sekitar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Wan Ibrahim Wan Ali dan Setiausaha Kehormat BiFA, Mohd Zaifulfadillah Junaidi.

Sumbangan turut diberikan kepada anak-anak yatim terpilih pada malam itu dan pertandingan karaoke juga diadakan.

Turut disampaikan beberapa anugerah terdiri daripada Pemain Bintang Harapan diberikan kepada Noor Ilham Husri, Jurulatih Berkaliber Mohamad Tuah Ismail, Pemain Bintang Gemilang Sharul Abdul Malik, Pengadil Berwibawa Affendi Amat dan Tokoh BiFA, ASP Jame Reis.

Sijil penghargaan untuk Kejohanan Piala Isuzu Belia Bawah 19 Tahun Sarawak dan Kejohanan Piala Mamee Zon Sarawak serta sijil pendaftaran daripada Suruhanjaya Sukan Negeri Sarawak untuk Kelab Bola Sepak Brotherhood & Pride Assyakirin turut disampaikan pada malam itu.